AntarabangsaIsu Semasa

Apakah Visi Jokowi Bagi Penggal Pemerintahannya Yang Kedua?

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Jokowi’ baru-baru ini telah menggariskan visi bagi penggal pemerintahannya yang kedua, di mana beliau berikrar untuk memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih pesat serta lebih banyak peluang pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan di negaranya.

Jelas Jokowi, pembangunan infrastruktur, yang merupakan agenda utama ketika penggal pemerintahan pertamanya, akan dipercepatkan lagi untuk menghubungkan pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh kepulauan itu sehingga ke pusat-pusat pertanian dan pelancongan.

Beliau juga menekankan rancangan untuk memperbaiki sumber manusia, di mana Indonesia dilaporkan ketinggalan dari segi tenaga kerja berkemahiran berbanding negara-negara jirannya.

Ini termasuk membuat pelaburan dalam sekolah-sekolah vokasional dan menubuhkan institusi untuk menguruskan bakat-bakat tempatan.

Selain itu, Jokowi turut berikrar untuk membuka peluang pelaburan di negaranya yang menyaksikan kerenah birokrasi serta kepentingan politik masih menjadi faktor utama yang menghalang modal asing.

“Jangan alah kepada pelaburan. Ia akan mewujudkan pekerjaan sebanyak mungkin,” katanya.

Walaupun kedudukan Indonesia bertambah baik dalam ranking Indeks Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia, Jokowi mengakui bahawa masih terdapat banyak halangan untuk memulakan perniagaan.

Pada bulan Mei, beliau menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya telah memotong 58 daripda 259 permit yang iperlukan untuk pelaburan loji jana kuasa, tetapi Jokowi mahu angka itu dipotong kepada 5.

Demi mencapai perkara tersebut, Jokowi berjanji untuk melakukan pembaharuan terhadap birokrasi yang tidak terkawal di negara itu.

“Kepantasan perkhidmatan, kepantasan memberi permit, adalah kunci pembaharuan birokrasi.

“Apabila saya melihat berlakunya ketidakcekapan atau kekurangan keberkesanan, saya akan membuangnya, pecat pegawai,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jokowi turut menyeru agar semua rakyat Indonesia bersatu berikutan insiden buruk yang berlaku ketika pilihan raya, yang menyaksikan antara pergolakan terburuk yang pernah terjadi di negara itu dalam tempoh berdekad-dekad.

Pada bulan lepas, Mahkamah Perlembagaan Indonesia mengesahkan kemenangan Jokowi dalam pilihan raya pada April.

Mahkamah menolak dakwaan yang dikemukakan oleh pesaingnya, Prabowo Subianto yang menuduh bahawa telah berlaku penipuan secara meluas dalam pilihan raya tersebut.

Pada Sabtu juga, Jokowi dilaporkan telah bertemu dengan Prabowo buat pertama kali di hadapan umum sejak pelantikan semulanya sebagai Presiden.

Prabowo turut menzahirkan ucapan tahniah kepada beliau dan menyeru penyatuan rakyat Indonesia.

“Tanggungjawab yang dipikul oleh Presiden adalah hebat. Demi rakyat, kami bersedia untuk membantu apabila diperlukan,” ujar Prabowo.

Sumber: The Star – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close