Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata bahawa beliau telah meluluskan penubuhan pasukan pertahanan angkasa yang akan menjadi sebahagian daripada tentera udara Perancis untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara.
Menurut beliau, doktrin ketenteraan baru penubuhan pasukan pertahanan angkasa itu akan memperkukuhkan lagi perlindungan satelit-satelit Perancis.
Walau bagaimanapun, pelaburan-pelaburan yang terlibat masih belum ditentukan.
“Untuk mengukuhkan doktrin ini dan memastikan pembangunan dan pengukuhan keupayaan angkasa kami, sebuah pasukan angkasa akan ditubuhkan pada bulan September depan dalam tentera udara,” kata Macron, sambil menambah bahawa ia kemudian akan diubah menjadi “Tentera Angkasa dan Udara”.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Perancis pada tahun lepas menyatakan bahawa beliau komited untuk memberi negaranya autonomi strategik angkasa berikutan ancaman yang semakin meningkat daripada kuasa-kuasa dunia lain yang terlibat dalam perlumbaan untuk mententerakan angkasa.
Program perbelanjaan tentera Perancis bagi tahun 2019-2025 telah merekodkan 3.6 bilion euro (RM16.7 bilion) bagi pelaburan dan pembaharuan satelit negara tersebut.
Menurut empat diplomat kanan pada bulan Jun, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga berhasrat untuk mengiktiraf angkasa sebagai satu bidang dalam peperangan pada tahun ini.
Selain itu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut membuat pengumuman pada tahun lepas berhubung penubuhan “Tentera Angkasa” baru sebagai cawangan keenam tentera AS menjelang tahun 2020.
Sumber: The Star – Reuters