AntarabangsaIsu Semasa

Cadangan China Untuk Turunkan Had Umur Perkahwinan Tidak Disambut Baik

Cadangan terbaru oleh penggubal undang-undang China untuk menurunkan had umur minimum perkahwinan telah dicemuh dan dikritik oleh rakyat ketika negara itu terus berusaha untuk mengatasi krisis populasi yang semakin menurun.

Menurut agensi berita Xinhua, beberapa anggota Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPCSC) telah mencadangkan untuk mengurangkan had umur berkahwin kepada 18 tahun berbanding 22 tahun untuk lelaki dan 20 tahun untuk wanita .

Zhang Sujun, salah seorang ahli NPCSC yang mencadangkan perubahan tersebut, mengakui bahawa ia tidak akan menaikkan bilangan orang yang akan berkahwin. Tetapi beliau berkata ia dapat membantu, bersama dengan dasar lain, untuk menangani isu populasi penuaan China akibat penurunan kadar kelahiran.

“Ini adalah hala tuju yang betul. Sejajar dengan dasar lain untuk mengurangkan kos membesarkan kanak-kanak dan untuk menggalakkan kelahiran bayi, dasar ini mungkin secara beransur-ansur akan menyelesaikan masalah,” kata Zhang.

Menurut Asia One, wakil NPC, Huang Xihua pernah membuat cadangan serupa pada tahun 2012, sebelum China mengubah dasar satu anak tetapi idea itu tidak mendapat sokongan.

Pada 2015, China melonggarkan dasar satu keluarga satu anak, membolehkan semua pasangan mempunyai dua anak untuk pertama kali dalam lebih dari tiga dekad.

Walau bagaimanapun, cadangan terkini itu telah menerima maklum balas yang negatif daripada rakyat China yang lebih muda, mengatakan mereka tidak akan berkahwin pada usia muda.

Yi Fuxian, seorang pengkritik tegar terhadap dasar kawalan kelahiran China dan seorang saintis kanan di University of Wisconsin-Madison, berkata tindak balas seperti itu sudah dijangkakan.

“Ini disebabkan oleh stereotaip. Orang China telah biasa untuk mempunyai hanya satu anak dan perkahwinan lewat, jadi mereka sudah terbiasa dengan dasar lama itu,” kata Yi.

Yi berkata bahawa undang-undang China adalah ketat berbanding dengan banyak negara di mana orang boleh berkahwin pada usia 18 tahun, tetapi menurunkan umur tidak memaksa sesiapa untuk berkahwin lebih awal.

“Ia hanya akan memberi orang lebih banyak hak. Membolehkan pasangan untuk melahirkan lebih ramai anak bermakna lebih banyak hak, dan begitu juga menurunkan usia minimum perkahwinan.”

“Sama ada anda mahu berkahwin atau tidak, itu bukan isu tetapi rakyat sekurang-kurangnya sepatutnya mempunyai hak mereka,” katanya.

Sesetengah ahli NPCSC juga mencadangkan untuk melanjutkan tempoh perbincangan sebelum memberikan perceraian kepada pasangan suami isteri daripada 30 hari kepada 60 atau 90 hari, di mana permohonan perceraian boleh dibatalkan oleh pasangan selepas ia diterima oleh pihak berkuasa.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, China telah mengubah dasar demografiknya untuk menggalakkan orang ramai mempunyai lebih ramai anak, tetapi setakat ini gagal untuk meningkatkan bilangan bayi yang dilahirkan.

Kadar kelahiran menurun dari 1.2 peratus pada tahun 2015, dengan 16.6 juta bayi dilahirkan, kepada 1.1 peratus pada tahun 2018, dengan 15.2 juta bayi dilahirkan, menurut data dari Biro Statistik Kebangsaan China.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button