AntarabangsaIsu Semasa

Syarikat AS Yang Terlibat Dalam Penjualan Senjata Kepada Taiwan Akan ‘Terima Padahnya’

China baru-baru ini mendesak Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan penjualan senjata bernilai AS$2.2 bilion (RM9.12 bilion) kepada Taiwan.

Urus niaga tersebut termasuk penjualan 108 buah kereta kebal Abrams, 250 peluru berpandu Stinger, serta peralatan-peralatan ketenteraan lain yang berkaitan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, 12 Julai 2019, China turut memberi amaran akan mengenakan sekatan ke atas syarikat-syarikat AS yang terlibat dalam urus niaga itu.

“Penjualan senjata AS kepada Taiwan amat melanggar norma-norma asas undang-undang antarabangsa dan hubungan antarabangsa.

“Demi menjaga kepentingan negara, China akan mengenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat AS yang terlibat dalam penjualan senjata ini kepada Taiwan,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang.

Menurut laporan media antarabangsa, rancangan penjualan senjata tersebut merupakan pemindahan tiket besar pertama (barang-barang bernilai tinggi) membabitkan peralatan ketenteraan AS kepada Taiwan dalam tempoh berdekad-dekad.

Urus niaga ini juga berlaku di tengah-tengah hubungan AS-China yang semakin tegang berikutan perang dagang yang berlaku di antara kedua-dua kuasa dunia itu.

Langkah yang diambil oleh AS bercanggah dengan Dasar Satu China yang telah diwujudkan sejak tahun 1979 lagi.

Di bawah dasar itu, AS mengiktiraf bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China, dan AS tidak boleh menjalinkan sebarang hubungan diplomatik secara rasmi dengan Taiwan.

China menganggap Taiwan sebagai “negeri pembelot” kerana sebelum ini, Taiwan merupakan sebahagian daripada China sehinggalah ia keluar daripadanya dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka.

China turut berikrar untuk memastikan Taiwan akan kembali semula menjadi wilayah di bawahnya pada satu hari nanti, dan akan menggunakan kekerasan, jika perlu.

Awal minggu ini, Kementerian Luar China berkata bahawa ia Beijing telah membuat aduan rasmi menerusi saluran diplomatik yang meluahkan “ketidakpuasan hati dan bantahan secara tegas” terhadap penjualan senjata tersebut.

Pada Selasa, China juga telah mendesak AS untuk “segera membatalkan” urus niaga berkenaan.

Walau bagaimanapun, AS dilihat tidak mempedulikan aduan China, dan sebaliknya berkata bahawa peralatan-peralatan ketenteraan yang dijual kepada Taiwan akan menyumbang kepada “keamanan dan kestabilan” di Asia.

Sementara itu, Menteri Luar China, Wang Yi memberi amaran keras kepada Washington untuk “tidak bermain dengan api” berhubung isu Taiwan.

Sumber: Straits Times – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button