AntarabangsaIsu Semasa

Turki Akhirnya Terima Penghantaran Pertama Senjata S-400 Rusia

Bahagian pertama sistem peluru berpanduĀ  buatan Rusia, S-400 telah dihantar kepada Turki pada Jumaat, 12 Julai 2019, kata Kementerian Pertahanan Turki.

Dalam satu kenyataan, Kementerian itu menyatakan bahawa S-400 tersebut dihantar ke Pangkalan Udara Murted di luar ibu kota Turki, Ankara.

Memetik laporan Reuters, kenyataan berhubung penghantaran senjata itu telah melemahkan mata wang Turki daripada 5.6775 kepada 5.7 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan berasingan, Direktorat Industri Pertahanan Turki berkata bahawa “penghantaran bahagian-bahagian sistem ini akan berterusan pada hari-hari yang akan datang.”

“Sejurus sistem ini bersedia sepenuhnya, ia akan mula digunakan mengikut cara yang ditentukan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, AS mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi, membuang Turki daripada program pembangunan jet pejuang ‘halimunan’ generasi kelima F-35, dan membatalkan penghantaran 100 buah F-35 kepadanya sekiranya negara itu Turki tetap berkeras untuk meneruskan pembelian S-400 Rusia.

Difahamkan, salah satu faktor utama mengapa Washington membantah tindakan Ankara membeli S-400 adalah kerana pengintegrasian sistem seperti ini ke dalam tentera Turki, yang merupakan kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting tentang keupayaan F-35.

Walau bagaimanapun, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendedahkan bahawa selepas beliau bertemu dengan Presiden AS, Donald Trump di sidang kemuncak G20 pada bulan lepas, Washington tidak bercadang untuk mengenakan sekatan ke atas Ankara di atas pembelian S-400.

Tetapi menurut Trump pula, Turki tidak dilayan secara adil, namun beliau pada masa yang sama tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan sekatan.

AS turut menyatakan bahawa sistem S-400 tidak sesuai dengan rangkaian pertahanan NATO.

Pada bulan Mei lalu, Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar mempertahankan tindakan negaranya untuk menubuhkan sistem pertahanan udara demi melindungi 82 juta rakyat serta negaranya.

Beliau menegaskan bahawa “tiada siapa yang perlu rasa terganggu” sekiranya Turki menggunakan S-400, memandangkan sistem itu hanya mempunyai keupayaan pertahanan.

Sumber: Arab News, Reuters, Middle East Monitor

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button