Isu SemasaTempatan

Pemansuhan Tol: Apa Akan Berlaku Kepada Lebuhraya PLUS?

Memansuhkan tol ialah salah satu janji utama yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lepas.

Tetapi, hasrat PH (yang kini sudah menjadi kerajaan pemerintah) untuk memansuhkan tol menimbulkan satu persoalan penting – apa akan berlaku terhadap Lebuhraya PLUS?

PLUS yang dibina pada penghujung tahun 1980an merupakan jalan raya yang terpanjang di Malaysia dengan ukuran 772 kilometer.

Sejak tahun 2014, terdapat beberapa bidaan yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengambil alih lebuh raya itu, termasuk daripada individu di sebalik pembinaannya, Tan Sri Halim Saad.

Menurut sumber industri, jumlah kertas cadangan (proposal) yang dikemukakan kepada kerajaan juga menyaksikan peningkatan.

Kertas cadangan tersebut menawarkan pelbagai kaedah untuk membantu kerajaan menyelesaikan isu tol PLUS.

Sebagai contoh pada lewat tahun lepas, Malayan Banking Bhd (Maybank) telah mengemukakan kertas cadangan yang mencadangkan penubuhan amanah pelaburan hartanah (Reit) untuk lebuhraya yang akan menyerap semua lebuhraya daripada pemilik-pemiliknya.

Sebagai ganti, pemilik-pemilik lebuhraya akan memperoleh unit dalam Reit tersebut, yang boleh mendatangkan hasil dividen yang tinggi.

Memetik laporan The Star, sumber berkata bahawa Halim mempunyai kaitan dengan cadangan tersebut.

Sementara itu, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang melakukan bidaan pada tahun 2017, dilaporkan telah mengemukakan kertas cadangan baru yang mencadangkan pembelian PLUS daripada kerajaan, berserta janji untuk mengurangkan harga tol dengan mengendalikan lebuhraya itu secara lebih efisyen.

Satu lagi kertas cadangan adalah daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan ia disifatkan sebagai “penyelesaian holistik dalam mengurangkan harga tol.”

Apa yang penting untuk diketahui adalah PLUS, yang kini dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd menerusi UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah mendatangkan hasil dividen yang tinggi kepada agensi-agensi tersebut.

Khazanah mempunyai 51% saham di dalam PLUS, manakala EPF pula memiliki baki 49%.

Jadi, sekiranya institusi-institusi tersebut tidak lagi menjadi pemilik, maka ia tidak akan dapat lagi menikmati hasil dividen yang tinggi itu.

PLUS dilaporkan membayar dividen bernilai di antara RM700 juta dan RM815 juta setiap tahun kepada pemegang-pemegang sahamnya dari 2015 sehingga 2017.

Namun pada masa yang sama, keadaan kewangan PLUS dilihat tidak berada dalam keadaan baik.

Bagi tahun kewangan 31 Disember 2017, PLUS mencatatkan kerugian sebanyak RM114.8 juta berbanding keuntungan bersih bernilai RM309 juta yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Hasil pendapatannya pada tahun 2017 juga lebih rendah, iaitu RM3.9 bilion berbanding RM4.06 bilion sebelumnya.

Setakat 31 Disember 2017, PLUS mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM3.98 bilion yang mungkin disebabkan bayaran dividennya melebihi keuntungan yang diperoleh.

Tetapi, aliran tunai PLUS masih lagi kukuh dan terlebih cukup untuk menguruskan hutang-hutangnya.

Berdasarkan sebuah laporan oleh agensi penarafan, Malaysian Rating Corp Bhd, aliran tunai bebas PLUS merekodkan lebihan bernilai RM1.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2018, sekali gus membolehkannya untuk mengisytihar dividen kepada pemegang-pemegang saham.

Difahamkan, PLUS merupakan konsesi lebuhraya yang terbesar di Malaysia, yang mengoperasikan lapan lebuhraya di bawah lima konsesi.

Lebuhraya-lebuhraya di bawahnya termasuk:

1. Lebuhraya Utara Selatan (NSE) – Berukuran sepanjang 772 kilometer dari Bukit Kayu Hitam di Kedah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand sehingga Johor Bahru

2. Lebuhraya Baru Lembah Klang

3. Lebuhraya Persekutuan Laluan 2

4. Lebuhraya Seremban-Port Dickson

5. Laluan Tengah Lebuhraya Utara Selatan (NSEL)

6. Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura

7. Lebuhraya Butterworth-Kulim

8. Jambatan Pulau Pinang

Konsesi PLUS akan tamat tempoh pada Disember 2038.

Pengambilalihan PLUS oleh kerajaan akan membabitkan kos yang amat tinggi, memandangkan syarikat tersebut mempunyai hutang keseluruhan bernilai kira-kira RM33 bilion.

Difahamkan, akan berlaku pembayaran semula besar bon-bon PLUS mulai tahun depan, dan ini bermakna bahawa aliran tunai lebihannya akan berkurangan dan dividen yang dijangka akan dibayar kepada pemegang sahamnya juga akan menurun.

Namun, tiada keperluan untuk membayar semula jumlah bon keseluruhan kerana sentiasa ada pilihan untuk melakukan pembiayaan semula.

Selagi pemegang bon diberitahu tentang pelan bagaimana untuk menguruskan pembayaran semula itu, maka ia tidak menjadi masalah.

Menurut laporan media, pengarah pengursan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata bahawa pihaknya terbuka kepada cadangan pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

“Kita merupakan sebuah syarikat konsesi dan kita telah menandatangani perjanjiaan bersama kerajaan. Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), kita akan melihatnya (kertas cadangan), mengikut perjanjian itu.

“Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa tawaran kerajaan,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker