Sukan

Mengapa Hafizh Syahrin Tidak Disambung Kontrak Pasukan Red Bull KTM Tech 3?

Bagi peminat perlumbaan MotoGP negara pasti sedih dengan khabar berita Hafizh Syahrin yang masih berbaki 10 pusingan musim ini akan digantikan oleh pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder dalam pasukan Red Bull KTM Tech 3 pada musim hadapan.

Ini bermakna khabar angin mengatakan pasukan itu tidak akan menyambung kontrak Hafizh tahun 2020 adalah benar apabila pasukan itu telah mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba pasukan KTM Ajo dalam laman web rasmi pasukan, motogp.teamtech3.fr pada Rabu.

 

Mengapa Hafizh Syahrin Diganti?

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila beliau masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.

Ia susulan prestasi yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lepas.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen pada Jun.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini menyaksikan beliau dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

 

Binder Mengumumkan Di Instagram

Sementara itu, Binder dalam laman Instragam beliau, @bradbinder_41, mengesahkan akan melangkah ke MotoGP pada 2020 selepas menandatangani perjanjian setahun dengan KTM untuk menyertai pasukan satelit Tech3 bersama-sama Miguel Oliveira.

“Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan melangkah ke kelas MotoGP untuk musim 2020 bersama pasukan @redbullktmtech3. Terima kasih Red Bull KTM kerana mempercayai saya.

“Bukan hanya untuk tahun hadapan tetapi untuk tahun-tahun selama kita bersama. Ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang membantu karier saya sehingga ke tahap ini,” katanya.

 

Datuk Razlan Yakin Hafizh Akan Kembali Beraksi

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang menjadi tunjang kepada penyertaan Hafizh dalam kelas perdana itu, beliau yakin pelumba pertama Asia Tenggara dalam kelas MotoGP itu akan kekal beraksi di pentas kejuaraan dunia.

“Dalam musim panas ini, ia adalah satu tempoh yang menyaksikan adanya pelumba masuk dan keluar daripada pasukan untuk 2020 dan saya yakin Hafizh akan kekal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia tetapi sama ada dia kekal dalam kelas perdana, itu mungkin tampak sukar kerana buat masa ini tiada tempat kosong.

 

Hafizh Masih Berpeluang ke Moto2

“Bagaimanapun, masih ada beberapa peluang dan tawaran untuk Hafizh ke Moto2. Saya pasti Hafizh akan membuat keputusan tepat berdasarkan keadaan ketika ini dan kami di SIC akan melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Razlan.

Hafizh mula melangkah ke kelas perdana MotoGP pada 2018, menyertai pasukan Tech3 yang ketika itu menggunakan motosikal Yamaha YZR M1 dan menamatkan saingan musim di tangga ke-16 dengan 46 mata keseluruhan.

Bagaimanapun selepas pasukan mengambil keputusan bekerjasama dengan pengeluar KTM bermula musim ini, Hafizh tampak bergelut dengan jentera KTM RC16 di saat pasukan dan dirinya masih dalam proses ‘mengenali’ motosikal dari Austria itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker