Tindakan Korea Selatan membeli jet pejuang ‘halimunan’ generasi kelima F-35 buatan Amerika Syarikat (AS) akan memaksa Korea Utara untuk membangunkan dan menguji “senjata khas” dalam usaha memusnahkan senjata baru Seoul itu.
Menurut agensi berita Pyongyang, KCNA, perkara tersebut dinyatakan oleh seorang pengarah penyelidik di Institute for American Studies dari Kementerian Luar Korea Utara.
Penyelidik yang tidak didedahkan identitinya itu turut berkata bahawa pihak berkuasa Korea Selatan bersikap “biadap” dan menyedihkan” kerana “bercakap dengan nada yang kuat tentang perdamaian dan kerjasama di antara utara dan selatan”, namun pada masa yang sama masih membeli lebih banyak senjata daripada AS.
“Tiada ruang untuk meragui bahawa penghantaran ‘F-35A, yang juga digelar sebagai ‘senjata maut yang tidak dapat dilihat’, bertujuan untuk memperoleh supremasi ke atas negara-negara jiran di dalam rantau dan terutamanya membuka ‘pintu’ kepada menakluk utara (Korea Utara) ketika waktu kecemasan di semenanjung Korea.
“Kita tiada pilihan lain tetapi untuk membangunkan dan menguji senjata khas bagi memusnahkan sepenuhnya senjata maut (F-35) yang diperkukuhkan di Korea Selatan,” kata penyelidik tersebut.
Difahamkan, Korea Selatan menerima penghantaran dua buah F-35 pertamanya pada bulan Mac, dan lebih banyak dijangka akan dihantar dalam tahun ini.
Seoul telah bersetuju untuk membeli 40 buah pesawat tempur canggih itu, di mana penghantaran terakhir akan dilakukan pada tahun 2021.
Kritikan terbaru Korea Utara terhadap perolehan peralatan ketenteraan Korea Selatan berlaku berikutan kebuntuan dalam hubungan inter-Korea.
Pyongyang juga menyifatkan langkah Seoul memperoleh senjata daripada AS sebagai “tindakan yang amat berbahaya yang akan mencetuskan reaksi kami.”
“Pihak berkuasa Korea Selatan perlu sedar sebelum terlambat, menghancurkan ilusi tidak masuk akal bahawa sebuah peluang untuk memperbaiki hubungan inter-Korea akan muncul sekiranya mereka mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat,” ujar kenyataan penyelidik itu lagi.
Sumber: The Star – Reuters