Gaya HidupIbu dan Anak

‘Checklist’ Perkembangan Bayi Dari Umur 1 Hingga 6 Bulan

Pada saat bayi dilahirkan, otak mereka hanyalah satu perempat daripada otak individu dewasa dan hanya mampu mengawal fungsi penting seperti bernafas, menangis, tidur dan menyusu (makan).

Korteks serebrum, bahagian otak yang mengawal pemikiran dan emosi yang lebih rumit mereka masih dalam proses perkembangan dan pembangunan yang membolehkan mereka untuk bertindak balas mengikut kehendak dan bukan sekadar tindak balas terhadap persekitaran sahaja.

Bayi comel yang dilahirkan memiliki 100 bilion neuron, iaitu sel otak.

Tetapi neuron sahaja tidak akan merangsang pertumbuhan dan kebolehan. Untuk membolehkan bayi anda berkemampuan dari mengesan objek sehinggalah tersenyum saat diagah, sel-sel otak tersebut perlu berhubung antara satu sama lain, membentuk rangkaian panjang seakan jambatan yang menghubungkan antara sel.

Gabungan dan hubungan antara sel otak ini dipanggil sinapsis. Otak bayi menghantar maklumat 16 kali ganda lebih perlahan berbanding individu dewasa.

Untuk mempercepatkan proses itu akan memakan masa, di mana sewaktu dilahirkan, sel-sel otak mereka baru akan mula untuk menghasilkan myelin – bahan lemak dan padat untuk mempercepatkan hubungan sel.

Dalam tempoh 3 bulan pertama, sinapsis si manja anda akan berkembang berlipat kali ganda, iaitu melebihi 20 kali ganda.

Sebagai ibu bapa, peranan anda dalam membantu perkembangan dan tumbesaran otak bayi comel anda adalah dengan melakukan seperti apa yang biasa dilakukan oleh ibu bapa lain – berinteraksi, menyentuh, mendodoikannya dan lain-lain – yang turut membantu kepada pertumbuhan otak serta menjadikan si manja anda lebih pintar dan bertindak balas terhadap persekitarannya.

Ini dia peringkat kelahiran bayi dari umur 1 bulan sehingga 6 bulan

1 bulan – mengenal pasti suara dan ekspresi mimik muka ibu ayahnya

2 bulan – sudah dapat mengetahui punca dan kesan setiap perlakuannya, seperti apakah yang akan diperolehi sekiranya mereka menangis dan sudah mampu untuk membalas senyuman

3 bulan – dapat mengekalkan hubungan mata dan memberikan tangisan yang berbeza untuk keperluan yang berbeza.

4 bulan – boleh mencapai objek, mula untuk memberikan tindak balas yang bukan sekadar senyuman, tetapi akan turut disertai dengan pergerakan mulut, tangan, kaki atau seluruh badannya bergantung kepada rima percakapan anda, menyentuh muka anda dan membalas percakapan anda dengan suara yang ceria walaupun si manja anda mungkin tidak dapat melihat anda.

5 bulan – berguling ke depan dan ke belakang, menunjukkan emosi melalui ekspresi, dan bahasa badan

6 bulan – penglihatan berkembang sepenuhnya, mampu duduk tanpa sokongan

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker