Isu SemasaTempatan

Pemandu Grab Bakal Berkurang Selepas 12 Julai

Hanya 10 peratus pemandu Grab Malaysia yang aktif telah memperoleh lesen kenderaan awam (PSV) mereka sebelum tarikh akhir 12 Julai ini.

Penyedia e-panggilan dalam satu kenyataan mengatakan peratusan masih rendah walaupun usaha untuk menyokong pemandu mereka mendapatkan lesen itu telah dilakukan.

Mereka berkata ini akan menjejaskan masa menunggu pengguna kerana pemandu Grab akan berkurang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam perkhidmatan pengangkutan.

“Setiap hari, pemandu aktif kami akan menerima kira-kira satu juta tempahan. Rata-rata penumpang hanya perlu menunggu dalam masa enam minit. Malangnya, ini akan berubah selepas 12 Julai ini.

“Para pengguna perlu menunggu lebih lama, terutamanya pada waktu puncak dan hari hujan,” katanya.

Menurut NST, syarikat itu juga mengatakan bahawa dengan kemungkinan kurang pemandu di jalan raya, pengguna mungkin bakal menerima kesan kenaikan harga tambang.

Grab mempunyai lebih daripada 200,000 pemandu di seluruh negara.

“Ramai pada masa ini sama ada sedang menunggu keputusan peperiksaan untuk mendapatkan lesen atau menunggu peluang mereka untuk menjalani peperiksaan.

“Kami telah mendengar rungutan daripada mereka, terutamanya pemandu separuh masa yang sedang ragu-ragu untuk meneruskan pemanduan mereka,” kata syarikat itu.

Ia menambah bahawa beberapa kebimbangan yang dihadapi oleh pemandu mereka termasuk mencari masa untuk menyelesaikan proses tersebut dan kesukaran dalam melalui proses permohonan di pelbagai jabatan pihak berkuasa.

“Grab telah dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Puspakom Sdn Bhd untuk membantu sebanyak mungkin pemandu sebelum 12 Julai, termasuk menganjurkan peperiksaan secara besar-besaran.”

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa PSV adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal selia industri e-panggilan dan mewujudkan persaingan sihat dengan teksi.

PSV yang berharga RM115 setahun adalah jenis lesen memandu vokasional untuk pemandu mana-mana jenis kenderaan komersial yang digunakan untuk membawa penumpang seperti teksi dan bas.

Pemandu e-panggilan yang menjalani PSV pada separuh pertama tahun ini tertakluk kepada pemeriksaan latar belakang, pemeriksaan kesihatan, dan menjalani modul latihan memandu khas selama enam jam, dengan kos RM200 seorang, di sekolah memandu atau syarikat yang diiktiraf oleh Apad.

Sementara itu, dalam mesej kepada pelanggan, Grab mengakui bahawa peraturan baru itu mungkin bermakna lebih sedikit pemandu di jalan raya dan peningkatan masa tunggu.

“Kami memahami bahawa ini mungkin mengecewakan, dan kami mencadangkan pra-perancangan perjalanan anda dalam tempoh ini,” katanya.

Syarikat itu mencadangkan agar pelanggan menempah perjalanan mereka lebih awal dan bersedia apabila pemandu tiba; dan tempah perjalanan di luar waktu puncak (7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam).

“Kami berharap keadaan ini adalah sementara dan akan terus memberi makluman kepada pelanggan. Anda mungkin mengalami sedikit kesulitan pada mulanya, tetapi perubahan ini adalah untuk memastikan kualiti yang konsisten di seluruh industri e-panggilan dalam jangka masa panjang.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button