Isu SemasaTempatan

Kembalinya ke “Pulau Neraka” Untuk Mengenang Yang Tewas Dalam Pelarian Perang Vietnam

“Jika anda perhatikan krisis pelarian yang sedang berlaku di pelbagai pelusuk dunia, anda boleh lihat ia sebenarnya bukan masalah pelarian tetapi ia adalah masalah perang. Maka solusi supaya memberhentikan pelarian ini daripada berhijrah ialah dengan memberhentikan peperangan,” kata Huynh yang pernah menjadi mangsa perang Vietnam dan mencari tempat perlindungan.

40 tahun yang lalu Van Huynh pernah menjadi mangsa pelarian Perang Vietnam di mana dia dan keluarganya pernah tinggal di Pulau Bidong, Terengganu yang juga dikenali sebagai “Pulau Neraka” untuk mereka yang pernah menghuni pulau tersebut.

Pada tahun 1970an Pulau Bidong menjadi pusat krisis kemanusiaan global setelah berlakunya Perang Vietnam.

Beribu rakyat Vietnam meninggalkan tanah air mereka dengan menggunakan bot untuk melarikan diri daripada peperangan tersebut.

 

Pulau Neraka Yang Dikenang…

Baru-baru ini Huynh yang kini tinggal di Amerika Syarikat telah kembali ke Pulau Bidong untuk memperingati 40 tahun para pelarian di Pulau Bidong dan menghormati mangsa yang pernah meninggal dunia di pulau tersebut.

Pulau Bidong mendapat julukan ‘Pulau Neraka’ kerana air di pulau tersebut yang tidak boleh diminum pada ketika itu. Jika ia diminum, orang itu akan terkena cirit-birit sehingga menyebabkan kematian.

Apatah lagi dengan populasi pulau kecil itu semakin sesak dengan 40,000 penghuni yang sebetulnya hanya boleh menampung 4,500 orang. Ia dianggarkan menjadi tempat paling padat di dunia pada ketika itu.

Walaupun terdapat bantuan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR), kerajaan Malaysia dan Palang Merah, peningkatan bilangan jumlah pelarian semakin banyak.

 

Sesak Dan Berdesak Sehingga Tidak Perlu Berjalan!

Lydia Nguyen yang tiba di pulau tersebut setahun setelah Huynh di mana itulah puncak populasi Pulau Bidang bercerita sambil berseloroh tentang keadaan di pulau tersebut yang sangatlah padat sehingga anda tidak perlu berjalan kerana anda akan ditolak sehingga sampai ke satu sudut yang lain.

“UNHCR telah bantu membina kemudahan tetapi mereka tidak bersedia dengan jumlah orang yang bakal tiba di pulau kecil tersebut dengan pelbagai penyakit yang dibawa,” kata Huynh kepada waratawan R.AGE.

“Ada di antara kami juga terdiri daripada doktor tetapi tanpa alat dan perubatan, mereka tidak dapat melakukan apa-apa,” kenang Huynh yang sangat berharap sejarah dan pengalamannya itu tidak akan dirasai oleh sesiapa pun di muka bumi ini.

Pelarian Vietnam terakhir untuk meninggalkan Pulau Bidong ini ialah pada 30 Ogos 2005 dan hanya kuburan warga yang tewas di pulau tersebut menjadi peninggalan mereka.

 

Pelan Langkah Komprehensif Antarabangsa (CPA) Malaysia

Pada tahun 1989, sebuah Pelan Langkah Komprehensif Antarabangsa (CPA) telah didrafkan oleh kerajaan Malaysia kerana peningkatan pelarian Vietnam yang tiba di pulau tersebut.

Sebuah konsensus telah dicapai oleh Vietnam dengan negara yang menjadi tempat perlindungan pertama para pelarian yang juga dikenali sebagai ‘the boat people‘ untuk memberhentikan kedatangan mereka dan supaya penempatan semula boleh dilakukan di negara ketiga seperti Australia, Amerika, Britain dan Eropah.

Daripada 255,000 pelarian orang perahu Vietnam yang diberikan suaka sementara di Malaysia, 248,410 telah ditempatkan semula di negara Barat.

 

Perjanjian Penempatan Semula Pertama Malaysia Dan Terakhir?

Amarjit Kaur, seorang profesor Sejarah Ekonomi di University of New England, Australia berkata ini merupakan perjanjian pelbagai hala untuk penempatan semula pelarian pertama dan satu-satunya yang berjaya dilakukan.

Sejak berakhirnya CPA pada tahun 2001, UNHCR tidak lagi memiliki perjanjian bertulis secara rasmi dengan kerajaan Malaysia untuk menguruskan pelarian di dalam negara ini.

Walhal sejak 40 tahun yang lalu, Malaysia menjadi antara destinasi tumpuan bagi para pelarian yang mencari tempat perlindungan dari konflik yang berlaku di negara masing-masing.

Pencari suaka ini termasuk pelarian Filipina pada akhir 1970-an dan awal 1980-an, pelarian Kemboja dan Vietnam pada tahun 1980an dan 1990an, serta sebilangan kecil pelarian Bosnia di awal 1990an.

Sehingga kini Malaysia juga mendapatkan kes pelarian daripada etnik minoriti Myanmar iaitu bangsa Chin dan Rohingya.

Namun begitu, Malaysia masih belum memiliki rangka kerja dasar untuk menangani kes pelarian yang masih tidak memiliki status yang sah di dalam negara dan secara teknikalnya dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Malaysia perlu belajar dari pengalaman dalam menangani krisis Indochina.Hanya melalui kerjasama seluruh organisasi di dalam negara dan antarabangsa, akan wujudnya solusi bagi masalah pelarian ini ,” kata Amarjit.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker