Isu SemasaTempatan

Isu Lynas: Apa Yang Sedang Berlaku Sebenarnya?

Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Pakatan Rakyat yang merupakan pembangkang pada waktu itu mempunyai pendekatan jelas tentang bagaimana mereka akan berurusan dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd dan kilang nadir bumi (rare earth) Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang.

Daripada tahun 2011 sehingga 2013, pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Fuziah Salleh (PKR) dan Wong Tack (DAP) antaranya, dilaporkan aktif mengambil bahagian dalam kempen anti-Lynas, di mana mereka turut menganjurkan beberapa siri demonstrasi bagi mendesak kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menutup kilang Lynas tersebut.

Pada PRU13, usaha untuk menutup kilang nadir bumi di Gebeng itu terkandung di dalam manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat.

Namun begitu, Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selepas PRU13 dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH) yang kemudian melakar kemenangan bersejarah dalam PRU14 pada Mei 2018.

Hari ini, PH sudah menjadi kerajaan pemerintah, tetapi mereka kini terperangkap dalam keadaan yang sukar – iaitu memastikan langkah-langkah yang terbaik bagi mengelak sebarang kesalahan, sebelum ia boleh memutuskan tentang apa yang harus dilakukan dengan Lynas dan kilangnya.

Bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa pentadbirannya akan memperbaharui lesen operasi Lynas di Malaysia, dan ini merupakan langkah yang orang ramai tidak jangka akan dilakukan oleh PH.

Beliau berkata, sementara isu pembuangan sisa radioaktif perlu diselesaikan, Lynas harus dibenarkan untuk terus beroperasi memandangkan Malaysia tidak mahu kehilangan “pelaburan besar” dari Australia.

APA SEBENARNYA ISU LYNAS INI?

Lynas mula beroperasi di Malaysia pada 2011 dan sejak itu lagi, aktivis alam sekitar serta sesetengah penduduk telah menggesa agar ia menghentikan operasi dan membuang sisa-sisanya, di mana keracunan radiasi dan pencemaran bekalan air menjadi kebimbangan utama.

Justeru, kerajaan BN terdahulu telah mempelawa pakar-pakar antarabangsa dari International Atomic Energy Agency (IAEA) pada tahun yang sama dan turut menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen pada 2012 untuk mengkaji dan memeriksa loji itu.

Selepas itu, Lynas telah memperoleh lesen operasi sementara dan memulakan operasi mereka pada November 2012.

Pada Disember 2018 (di bawah pemerintahan PH) pula, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menerusi Atomic Energy Licensing Board (AELB) telah menetapkan dua syarat yang perlu dipatuhi oleh Lynas untuk memperbaharui lesennya.

Lynas perlu mengemukakan pelan tindakan pada 19 Februari bagi pelupusan sisa buangan Neutralisation Underflow (NUF) daripada premis loji itu, serta pembuangan sisa daripada aliran Water-Leached Purification (WLP) dari Malaysia, selaras dengan komitmen bertulis Lynas yang dikemukakan pada tahun 2012.

Difahamkan, NUF ialah gipsum sintetik yang kaya dengan magnesium, bukan radioaktif dan tidak beracun, sementara WLP pula merupakan bahan fosfat besi yang diklasifikasikan oleh IAEA sebagai sisa yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) pada tahap yang rendah.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah menyatakan bahawa Lynas perlu menyelesaikan isu pembuangan sisa radioaktif di Gebeng menjelang 2 September sebelum lesen operasinya di sini boleh diperbaharui.

Tetapi Australia pula secara jelas berkata bahawa ia tidak akan menerima sisa itu, dan tindakan mengimport sisa dari negara-negara lain adalah satu kesalahan di dalam undang-undang negara itu.

Sisa WLP dikatakan mengandungi torium radioaktif tahap rendah, toksik uranium1, dan toksik besi berat dan kimia.

Walau bagaimanapun, pengkritik mendakwa bahawa kebanyakan WLP ialah sisa yang bertoksik, dan elemen-elemen itu merupakan bahan penyebab kanser yang perlu diasingkan daripada biosfera.

AKTIVIS RASA “DIKHIANATI”

Kumpulan-kumpulan aktivis alam sekitar yang sebelum ini menyokong pemimpin-pemimpin PH ketika kempen PRU13 menentang Lynas berkata bahawa mereka berasa tertipu dan dikhianati oleh perubahan pendirian pakatan itu terhadap operasi kilang nadir bumi berkenaan.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, barisan kepimpinan PH perlu ingat bahawa usaha untuk membantah Lynas terkandung dalam manifesto pilihan raya mereka terdahulu, dan ramai pengundi yang menyokong ahli-ahli parlimen PH yang mengendalikan perkara ini berasa marah terhadap mereka.

“Saya rasa semua orang marah, kita telah bersusah payah mengundi mereka, membantu mereka memenangi kerusi parlimen dan negeri, dan ini yang kita dapat, iaitu penangguhan berulang kali.

“Kita mahu mereka berpegang pada prinsip akauntabiliti dan integriti,” katanya kepada Malay Mail.

Tan menceritakan bagaimana SMSL pergi ke Parlimen untuk berjumpa dengan kaukus khas yang bertanggungjawab memantau Lynas. Pihaknya telah diberi taklimat, namun tiada sebarang tindakan susulan yang diambil selepas itu.

Beliau juga mendakwa bahawa SMSL telah menulis surat kepada Perdana Menteri kira-kira tiga minggu lalu untuk mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut, namun masih belum menerima sebarang maklum balas, sedangkan Lynas pula berpeluang untuk mengadakan perjumpaan dengan kerajaan.

“Beliau (Dr Mahathir) sepatutnya membuat keputusan yang lebih baik, dan menjadi adil kepada semua dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak yang membantah loji itu juga.

“Sekiranya lesen diperbaharui, kita tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menganjurkan sebuah acara, di mana kita akan ‘membakar’ manifesto Pakatan Harapan,” tegasnya.

ISU LYNAS DIGUNAKAN SEBAGAI MODAL POLITIK

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata bahawa selama bertahun-tahun, parti-parti PH menggunakan isu Lynas sebagai modal kempen pilihan raya, dan perkara ini turut memberi kesan terhadap BN serta Kerajaan Negeri Pahang.

“Mereka hanya bercakap kosong sahaja selama ini, bercakap apa yang mereka mahu cakap, dan apa yang orang ingin dengar,” katanya.

Tegas beliau, pemerintahan BN sebelum ini telah menyemak semua butiran yang diperlukan sebelum memberi lampu hijau kepada Lynas untuk beroperasi.

“Sekarang Lynas sudah OK. Di mana Wong Tack dan Fuziah sekarang?”, soal Sharkar.

Dalam pada itu, walaupun kempen anti-Lynas diperjuangkan oleh pemimpin PH ketika GE13, operasi syarikat itu tidak dijadikan isu pilihan raya semasa PRU14, dan perkara ini turut diakui oleh pengkritik.

Tetapi, Lynas juga berkata bahawa setahun selepas PRU14, wujud kempen kesalahan maklumat oleh aktivis anti-Lynas.

“Malaysia mempunyai banyak industri yang membawa risiko lebih tinggi, dan segelintir industri ini beroperasi berdekatan dengan loji Lynas Malaysia. Namun, tidak berlaku perdebatan politik tentang industri-industri ini.

“Sains berkata bahawa Lynas adalah selamat. Tetapi, sejumlah kecil aktivis anti-Lynas terus menggunakan Lynas sebagai isu politik,” kata pihak Lynas.

Pengkritik operasi Lynas di Gebeng baru-baru ini mendakwa bahawa air bawah tanah di sekitar kilangnya telah dicemari oleh besi berat.

Walau bagaimanapun, Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menafikan dakwaan tersebut, sambil berkata bahawa ujian terbaru menunjukkan bahawa dakwaan itu tidak benar.

Lynas mempercayai bahawa salah faham terbesar tentang operasinya adalah kedua-dua sisa WLP dan NUF bertoksik dan berbahaya, dan residu tidak boleh diuruskan dengan selamat.

Menurut syarikat itu, lebih daripada 17,000 pelawat yang terdiri daripada golongan profesional, badan bukan kerajaan NGO, pemimpin kerajaan, serta agensi telah melawat loji berkenaan sejak ia dibuka pada tahun 2012, dan operasi juga dijalankan secara telus.

Sumber rujukan: Malay Mail Online

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button