Sukan

Apa Akan Terjadi Dengan Nasib Neymar?

Kemelut tiga segi di antara Neymar, Barcelona serta PSG belum berkesudahan. Jika diimbas kembali semasa proses Neymar menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan rekod perpindahan dunia, dia menyifatkan keputusan tersebut sebagai `satu daripada keputusan paling sukar’ yang diambilnya.

“Di Barcelona, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan dan bandarayanya. Saya memiliki rakan di sana dan ia bukanlah perkara mudah,” akui bintang Brazil berusia 25 tahun pada sidang media di Parc des Princes pada 5 Ogos 2017.

“Ketika itu suasananya sangat tertekan. Saya berfikir apa yang sepatutnya saya lakukan dalam hidup. Saya meninggalkan ramai rakan-rakan, namun ia berlaku dengan pantas dalam bola sepak.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sepasukan di Barca atas persahabatan yang terjalin. Saya sangat gembira berada di sana sepanjang empat tahun, namun saya berasakan sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan,” katanya setelah menyertai PSG dengan nilai mega €222 juta (RM1.04 bilion).

 

Kontroversi Neymar di Perancis

Hampir dua tahun keberadaan Neymar di PSG Neymar telah berdepan kontroversi di Perancis apabila seorang wanita yang ditemuinya menerusi media sosial mendakwa dirogol oleh Neymar di sebuah hotel di Paris.

Sebelum kejadian ini juga Neymar dibelenggu kontroversi apabila masalah kecederaan memaksanya melihat perlawanan dari bangku penonton ketika PSG disingkirkan daripada Liga Juara-Juara oleh Manchester United pada Mac dan Neymar mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan di Instagram miliknya.

Sejak kebelakangan ini pula khabar angin meniup kencang Neymar mahu pulang ke Barcelona.

 

Messi Juga Mahu Neymar Sertai Barcelona

Malah Lionel Messi juga pernah diberitakan pernah memberitahu Barcelona dia mahu kelab itu mendapatkan semula Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG) musim panas ini.

Laporan itu turut menambah kelab Catalan itu akan melihat kepada perjanjian pra-kontrak perpindahan membabitkan Antoine Griezmann ke PSG sebagai usaha mendapatkan pemain berkenaan.

Griezmann sudah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan Atletico Madrid musim panas ini dengan Barca dijangka melengkapkan perjanjian itu pada bulan depan ketika klausa perpindahannya menurun daripada €200 juta (RM1.4 bilion) kepada €120 juta (RM561 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif Atletico, Gil Marin pada minggu lalu mendakwa pemain berusia 28 tahun itu sudah mencapai persetujuan dengan Barca sejak Mac lalu.

Justeru, difahamkan cubaan Barcelona untuk menandatangani semula Neymar bergantung kepada persetujuan pemain kebangsaan Perancis itu untuk kembali ke negara kelahirannya.

Sekali pun PSG dikatakan enggan melepaskan Neymar, akhbar L’Equipe melaporkan kelab itu bersedia untuk mendengar tawaran buat pemain kontroversi itu dan ia dikuatkan dengan kenyataan presidennya, Nasser Al-Khelifi yang mahu melihat barisan bintangnya memberikan lebih komitmen kepada kelab.

 

Neymar Tidak Kisah Gaji Dipotong Lebih Daripada Separuh?

Neymar juga kelihatan seperti nekad untuk pindah semula ke Barcelona walaupun gajinya berkemungkinan akan dikurangkan daripada 36 juta euro (RM169.24 juta) menjadi 24 juta euro (RM56.41 juta), sama seperti yang diperolehnya di Barca pada 2017.

Walau bagaimanapun sehingga akhir bulan Jun, Barcelona hanya mengetahui mengenai minat ditunjukkan Neymar untuk kembali ke Barcelona tetapi pihak kelab tidak melakukan usaha untuk mendapatkannya kembali.

 

PSG Marah Kerana Neymar Tak Muncul Di Sesi Latihan

Terbaharu bintang Brazil berusia 27 tahun itu gagal memunculkan diri pada sesi latihan pramusim Paris Saint-Germain (PSG) sehingga kelab gergasi Perancis itu mengumumkan akan mengambil ‘tindakan sewajarnya.’

Malah Pengarah Paris Saint-Germain (PSG) Leonardo menegaskan, kelab itu bersedia melepaskan Neymar jika menerima tawaran yang berpatutan tetapi Barcelona masih belum melakukan bidaan.

“Neymar boleh tinggalkan PSG jika terdapat tawaran yang bersesuaian dengan semua pihak tetapi sehingga hari ini, kami tidak pasti jika ada mana-mana pasukan akan mahu membelinya.

“PSG mahu bergantung kepada pemain-pemain yang mahu kekal bersama pasukan untuk membina sesuatu yang lebih besar. Kami tidak memerlukan pemain yang memiliki agenda tersendiri,” katanya.

 

Neymar Hanya Ke Institut Neymar

Namun menurut bapa Neymar yang juga ejen Neymar, kelab Perancis itu sudah pun dimaklumkan bahawa anaknya tidak dapat hadir ke latihan pra musim tersebut.

“Alasan (tidak hadir) sudah diketahui dan dirancang untuk setahun bagi memberi laluan aktivitinya di Institut Neymar (yayasan amal).

“Kami tidak boleh menangguhkannya dan dia akan balik (ke PSG) pada 15 Julai ini.

“Itu sahaja, tiada apa-apa drama. PSG pun sudah tahu dengan akiviti yayasan tersebut,” kata Neymar Senior.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker