AntarabangsaIsu Semasa

Guangzhou Bakal Perkenalkan Kursus Perintis AI Di Sekolah

Bandar Guangzhou di wilayah Guangdong akan mula menawarkan kursus kecerdasan buatan atau “artificial intelligence” (AI) kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah pada bulan September ini.

Memetik laporan Channel News Asia, biro pendidikan bandar tersebut kini sedang memilih kira-kira 100 buah sekolah untuk melaksanakan kursus perintis AI itu serta mempromosikan pendidikan pintar.

Menjelang tahun 2022, semua sekolah rendah dan menengah di Guangzhou akan mempunyai kursus AI dalam kurikulum harian mereka bagi membantu melatih dan memupuk bakat AI untuk bandar tersebut.

“Guangzhou dipilih pada bulan Mei sebagai zon demonstrasi pendidikan perintis AI di dalam negara (China) bagi tahun 2019, dan mempromosikan pendidikan AI dalam kalangan sekolah rendah dan menengah telah menjadi tugas yang penting untuk jabatan-jabatan pendidikan pada bulan-bulan yang akan datang,” kata biro pendidikan Guangzhou dalam satu kenyataan.

Menurut Peng Peng, seorang penyelidik di Guangzhou Academy of Social Sciences, AI kini menjadi trend pembangunan global utama dalam sains dan teknologi, di mana ia juga melambangkan masa depan.

“Menjalankan kursus perintis AI dalam kalangan sekolah rendah dan menengah menunjukkan pandangan jauh strategik dan jangka masa panjang kerajaan bandar itu, memandangkan ia akan membantu melatih dan memupuk lebih banyak bakat AI bagi pembangunan industri AI di Guangzhou,” jelas Peng.

Walau bagaimanapun, Xiong Binggi, timbalan pengarah 21st Century Education Research Institute berkata, kursus AI perlu diajar hanya di sekolah selepas jabatan pendidikan, jabatan-jabatan yang berkenaan, dan jawatankuasa guru menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan serta penilaian pengajarannya.

Ujar beliau, pelaksanaan kursus AI tidak patut dilakukan secara tergesa-gesa di sekolah rendah dan menengah tanpa mempertimbangkan keperluan masyarakat untuk AI dan keadaan pengajian di sekolah terlebih dahulu.

“Kursus AI itu akan kekurangan kualiti jika ia dibuka secara membuta-tuli di sekolah rendah dan menengah,” kata Binggi.

Sumber: The Star – Asia News Network, China Daily

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker