AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Kebangkitan Semula JI Di Indonesia Akan Mengancam Malaysia Dan Singapura?

Walaupun menjadi dalang di sebalik sesetengah serangan keganasan yang terburuk di Indonesia, termasuk insiden pengeboman Bali pada tahun 2002, Jemaah Islamiyah (JI) dilaporkan terus kekal ‘low profile’ sementara polis anti-keganasan fokus dalam memerangi ancaman daripada kumpulan-kumpulan militan berkaitan IS.

Namun baru-baru ini, polis Indonesia telah menahan ketua JI yang dikenali sebagai Para Wijayanto, 54, yang telah menjadi buruan pihak berkuasa sejak tahun 2003 lagi.

Difahamkan, isteri Para serta tiga orang lagi rakannya turut berjaya ditahan oleh polis.

Tetapi hasil daripada penahanannya, polis mendapati kebangkitan semula JI, yang kini aktif merekrut anggota baru dan menubuhkan sayap paramiliter secara rahsia dalam usaha ‘menghidupkan’ semula kumpulan tersebut.

Polis turut mendapati bahawa JI telah berubah daripada menjadi sebuah kumpulan radikal yang bergantung kepada sumbangan/derma dan melakukan rompakan, kepada kumpulan yang kini menjalankan perniagaan berkaitan perladangan kelapa sawit di kepulauan Sumatera dan Kalimantan.

“JI telah menjadi semakin kuat….ia kini jauh lebih canggih, beradaptasi, serta mampu menguruskan organisasinya dengan baik dan mengeksploitasi isu,” kata Sofyan Tsauri, bekas anggota kumpulan militan al-Qaeda di Asia Tenggara.

Tsauri didakwa atas kesalahan perolehan logistik dan senjata ketika berada di dalam al-Qaeda dari tahun 2005 sehingga penangkapannya pada 2010.

Dia dibebaskan pada tahun 2015 dan telah meninggalkan kumpulan tersebut sejak itu.

KEBANGKITAN “NEO-JI”

Menurut laporan Institue for Policy Analysis of Conflict (IPAC), istilah “neo-JI” merujuk kepada pemulihan kumpulan itu selepas ia hampir musnah pada tahun 2007, berikutan pertempuran bersenjata di antara JI dan polis di Poso, Sulawesi Tengah, yang turut menyaksikan penangkapan lebih daripada 40 anggota JI, termasuk pemimpin-pemimpin kanannya.

Penyelidik terorisme, Mohamad Adhe Bhakti berkata, Neo-JI dikatakan telah menubuhkan sayap tenteranya sendiri yang dikenali sebagai Asykari di semua daerah di pulau Jawa dan daerah Lampung di pulau Sumatera.

“Terdapat 10 hingga 20 anggota Asykari di setiap daerah,” katanya.

Difahamkan, Para yang juga mendapat gelaran “putera mahkota JI”, telah dinamakan sebagai ’emir’ atau ketua kumpulan itu pada tahun 2008 kerana mempunyai kemahiran menguruskan organisasi dengan baik.

Bagaimanapun, polis mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas tentang Islam.

Pihak berkuasa berkata, Para terlibat di dalam pengeboman Bali yang meragut nyawa 202 mangsa, dan juga insiden pengeboman ketika malam sambutan Christmas pada tahun 2002 di seluruh Indonesia, serta pengeboman kedutaan Australia di Jakarta pada 2004.

Dia juga dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan-kegiatan keganasan di bandar timur Poso di pulau Sulawesi di antara tahun 2005 sehingga 2007.

Di bawah kepimpinan Para, JI telah menghantar anggota-anggotanya untuk menjalani latihan di Syria dari 2013 – 2018, menurut jurucakap polis Indonesia, Dedi Prasetyo.

Sementara itu, Mohamad Adhe mendedahkan bahawa di Syria, Ji berjuang di sisi kumpulan sekutu al-Qaeda, iaitu Jabhat Al-Nusra atau Al-Nusra Front.

JI juga dikatakan membantah IS sekeras-kerasnya sambil berpegang teguh kepada pendirian ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, yang berkata bahawa IS “sudah melampaui batas ekstremisme.”

Ujar Mohamad Adhe, anggota-anggota JI lebih terlatih dan didoktrinasi berbanding pejuang-pejuang IS. Ini adalah kerana ramai anggota IS direkrut dan menjalani proses radikalisasi di atas talian (online), sementara JI pula merekrut anggota baru secara teliti dan terperinci.

JI RAIH PENDAPATAN ‘LUMAYAN’

Menerusi perniagaannya yang memfokuskan perladangan kelapa sawit, JI meraih pendapatan yang lumayan sehinggakan ia mampu membayar ‘pegawai-pegawainya’ gaji bulanan sebanyak 10 hingga 15 juta rupiah (RM2,935 hinga RM4,400), kata polis.

Sebelum ini, JI memperoleh pendapatan dengan meminta sumbangan wang dan melakukan rompakan bersenjata untuk mendapatkan senjata, bahan letupan, serta logistik bagi melancarkan serangan keganasan.

Menurut laporan IPAC lagi, keadaan kewangan kumpulan itu berada pada tahap yang amat teruk pada tahun 2005 sehinggakan ia tidak mampu untuk menyara keluarga anggota-anggotanya yang sedang berada di dalam penjara.

Bekas ketua polis Indonesia, Benny Mamoto berkata, memandangkan JI kini sudah stabil dari segi kewangan, ini sekali gus menjadikan kumpulan itu semakin berbahaya.

“Dengan dana yang lebih besar, ancaman daripada JI akan meningkat kerana ini bermakna bahawa ia akan mampu menjalankan pelbagai jenis aktiviti,” kata Mamoto yang kini menjadi naib pengarah Pengajian Strategik dan Global di University of Indonesia.

ADAKAH JI AKAN BANGKIT SEMULA DI MALAYSIA DAN SINGAPURA?

Kebangkitan semula JI di Indonesia mencetuskan kebimbangan bahawa ia mungkin akan ‘menghidupkan’ semula sel-selnya di Malaysia dan Singapura yang telah lama musnah.

Ketika berada di kemuncaknya pada pertengahan 2001, JI bertapak di lima buah negara – Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia – dan mempunyai divisyen serantau yang dinamakan “Mantiqis”.

IPAC menyatakan bahawa Mantiqi 1 (divisyen serantau 1 yang berpangkalan di Malaysia) merupakan divisyen JI yang paling penting bagi rangkaian antarabangsa kumpulan itu, yang turut menghubungkannya bersama al-Qaeda.

“Kita telah melumpuhkan kegiatan JI sejak penghujung 2001. Namun, JI dijangka akan menjadi aktif semula…lebih-lebih lagi jika Abu Bakar Bashir dibebaskan dari penjara,” kata Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abu Bakar Bashir ialah individu yang mengasaskan JI pada sekitar tahun 1993 bersama seorang lagi rakannya bernama Abdullah Sungkar.

Bashir sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan membantu membiayai sebuah ke latihan paramiliter di Aceh.

“Buat masa ini, tiada petanda yang menunjukkan bahawa JI sedang merancang sebarang serangan di Malaysia atau JI Indonesia sedang merekrut rakyat Malaysia,” jelas Ayob.

Di Singapura pula, walaupun JI tidak berfungsi sebagai sebuah organisasi, ideologinya masih lagi mendapat sokongan segelintir penyokongnya, kata Noor Huda Ismail, seorang Felo di Nanyang Technological University.

Beliau juga memberi amaran bahawa kebangkitan JI di Indonesia boleh menghidupkan semula JI di Singapura.

Sumber: South China Morning Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button