AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Insiden Pengeboman Kem Tentera Filipina Serangan Bom Berani Mati?

Seorang anggota militan warga Filipina merupakan suspek yang melancarkan pengeboman berani mati ke atas sebuah kem tentera di kepulauan Jolo di selatan Filipina baru-baru ini.

Insiden tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa dan juga mempunyai petanda bahawa ia adalah serangan bom berani mati.

Menurut Major Jeneral Cirilito Sobejana, mayat suspek pengebom itu telah dikenal pasti oleh ibu dan adik beradiknya, namun ujian DNA masih perlu dilakukan untuk mengesahkannya.

Difahamkan, suspek berkenaan berusia 23 tahun dan didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf.

Sobejana berkata, pihak penyiasat tidak boleh menolak sepenuhnya kemungkinan bahawa bom tersebut diletupkan dari jauh dan suspek pula hanya membawanya.

“Kemungkinan bahawa ia merupakan (serangan) bom berani mati adalah amat tinggi, tetapi kita juga perlu mempertimbangkannya,” ujar beliau.

Sekiranya benar, suspek akan menjadi penyerang berani mati yang pertama di Filipina untuk melancarkan serangan berkenaan di negara sendiri, di mana pegawai keselamatan menyifatkan perkara ini sebagai ‘taktik yang melanggar budaya tempatan’.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dalam satu kenyataan berkata bahawa serangan yang berlaku pada 28 Jun itu “secara jelas ialah pengeboman berani mati”.

Jelas beliau, ia juga merupakan serangan berani mati yang dilancarkan di Filipina, berikutan insiden pada Julai 2018 yang menyaksikan letupan bom van di pulau Basilan, serta letupan di sebuah gereja Katolik di Jolo pada Januari tahun ini.

Kumpulan pengganas IS dilaporkan menjadi dalang di sebalik ketiga-tiga serangan tersebut, dan IS juga sering mengaku bertanggungjawab ke atas serangan keganasan yang dilancarkan oleh pelbagai puak militan termasuk Abu Sayyaf.

Difahamkan, Abu Sayyaf dan militan-militan lain yang terlibat dalam peristiwa penaklukan Marawi pada tahun 2017 telah bersumpah taat setia dengan IS.

Abu Sayyaf juga dipercayai menjadi dalang di sebalik beberapa serangan keganasan yang paling buruk dalam sejarah Filipina, termasuk melakukan penculikan warga asing.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker