Isu SemasaTempatan

SPRM Tidak Mahu Jadi ‘Punching Bag’ Dalam Politik

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu lagi menjadi ‘punching bag’ dalam permainan politik, kata Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Beliau berkata, SPRM mahu mendidik semula orang ramai tentang peranan sebenarnya, dan ia bukanlah sekadar melakukan tangkapan tetapi juga mempunyai pelbagai tanggungjawab berat lain.

“SPRM dikatakan menjadi agensi di mana aduan (berkaitan rasuah) boleh dibuat, namun pada masa yang sama, ia juga dijadikan sebagai ‘punching bag’ dalam permainan politik.

“Kita mempunyai tugas berat lain yang termaktub dalam Akta SPRM iaitu untuk mendidik orang ramai dan mencegah rasuah,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mahu mempromosikan SPRM pada dua peringkat iaitu:

1. Mendidik orang ramai tentang tugas sebenar SPRM

2. Membantu masyarakat untuk menjauhi gejala rasuah

Menurut Latheefa, SPRM juga telah menjalankan banyak operasi untuk membongkarkan kegiatan rasuah walaupun lebih banyak lagi usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan operasinya.

Jelasnya, apabila sesuatu aduan diterima, SPRM perlu memastikan bahawa aduan itu adalah tulen dan bukan semata-mata kerana dendam atau bertujuan untuk mengaibkan seseorang.

“Yang kedua, kita mahu memberi latihan yang lebih baik berhubung cara untuk mendapatkan bukti dan kenyataan kerana kita sedang (hidup) dalam era yang canggih, jadi kita perlu beralih daripada cara lama di mana pengakuan diperoleh menggunakan kekerasan atau dengan menakutkan-nakutkan saksi.

“Kita kini mempunyai sistem pintar, komputer, dan internet, jadi kita boleh menunjukkan bahawa tidak semestinya perlu mendapatkan pengakuan jika kita boleh memperoleh semua bukti, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan tiada pilihan tetapi mengakui kesalahan mereka,” ujarnya.

Latheefa menjelaskan bahawa ini merupakan antara langkah yang boleh digunakan untuk melakukan pendakwaan secara berkesan bagi tangkapan yang dilakukan.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button