Isu SemasaTempatan

Benarkan Pelarian Bekerja Dalam Sektor Perladangan – UNHCR

Pelarian perlu diberi peluang untuk bekerja di perladangan atau sektor-sektor lain, di mana terdapat kekosongan yang tidak diisi oleh rakyat Malaysia.

Timbalan Perwakiltan (Perlindungan) Persuruhjaya Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Maja Lazic berkata, kerajaan boleh membenarkan perkara itu kerana ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi pelarian.

“Mereka (pelarian) boleh mengisi kekosongan jadi ia akan menjadi situasi win-win (menang-menang). Tiada sesiapa (rakyat tempatan) yang akan kehilangan pekerjaan,” kata Lazic pada sidang media selepas penandatanganan perjanjian skim bantuan pelarian dan pencari suaka di antara Majlis Peguam Malaysia dan UNHCR pada Khamis.

Pada 29 Jun 2019, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan bahawa kerajaan mungkin akan mempertimbang untuk mengambil pekerja asing warga Afrika bagi mengisi kekosongan di dalam sektor perladangan, namun cadangan tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak.

Walaupun pelarian boleh ditawarkan pekerjaan dalam sektor perladangan, namun Lazic berkata bahawa mereka mempunyai profil yang berbeza berbanding buruh asing.

“Pelarian selalunya mempunyai keluarga jadi mereka mungkin tidak boleh meninggalkan isteri, anak-anak, atau orang tua untuk bekerja di perladangan.

“Lagipun, tidak semua perladangan menyediakan penginapan keluarga atau memberi akses kepada pendidikan mahupun penjagaan kesihatan,” jelasnya.

Pada masa ini, pelarian masih tidak dibenarkan untuk bekerja, tetapi Kementerian Dalam Negeri mempunyai projek perintis menerusi kerjasama dengan UNHCR, yang akan merekrut 100 pelarian Rohingya untuk bekerja dalam sektor pembuatan.

Kerajaan juga dilaporkan menjalankan projek bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), bagi memberi peluang kepada sekumpulan pelarian warga Syria untuk bekerja.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, mereka bercadang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu yang sudah lama wujud membabitkan penahanan pelarian di pusat tahanan.

“Kami sedang menunggu maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Berhubung isu ini, Lazic turut menyatakan bahawa pihak berkuasa perlu mengenal pasti status pelarian, yang memegang kad pelarian yang mengandungi kod QR.

“Tetapi, sekiranya seseorang pelarian memegang surat, yang menyatakan statusnya sedang dipertimbangkan, atau jenis dokumen lain, itu agak sukar.

“Pihak berkuasa boleh menghubungi kami untuk melakukan pengesahan tetapi kadang kala, itu tidak berlaku,” katanya.

Oleh sebab itu, UNHCR telah melawat 11 pusat tahanan di seluruh negara untuk membebaskan individu-individu yang benar-benar pelarian.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button