Isu SemasaTempatan

Adakah Malaysia Airlines Masih Mempunyai Harapan Untuk Terus Bertahan?

Walaupun sudah menerima suntikan dana bernilai berbilion ringgit dan menjalani penstrukturan semula, Malaysia Airlines Bhd (MAB)  – dahulu dikenali sebagai Malaysian Airlines System (MAS) – masih lagi berdepan pelbagai isu dan mencari jalan untuk terus bertahan.

Sejak tahun lepas, syarikat penerbangan kebangsaan itu meraih perhatian umum atas sebab-sebab yang salah, sehinggakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali mencadangkan kemungkinan untuk menjual MAB demi memastikan kelangsungan hidupnya.

Justeru, ramai pihak melihat situasi ini sebagai petanda bahawa jangka hayat Malaysia Airlines mungkin akan sampai ke penghujungnya.

Dalam pada itu, cadangan Dr Mahathir untuk menjual syarikat penerbangan yang dibelenggu kerugian itu mungkin tidak sukar untuk dilakukan.

MENGAPA MENJUAL MAB ADALAH PILIHAN YANG LEBIH BAIK?

Pada tahun 2014, Malaysia Airlines mengharungi dua tragedi yang menyaksikan kehilangan pesawat MH370 manakala MH17 pula ditemak jatuh di Ukraine.

Selepas itu, Khazanah Nasional Bhd yang merupakan dana kekayaan berdaulat Malaysia dan pemegang saham tunggal MAB mengumumkan penstrukturan semula yang bertujuan untuk memastikan syarikat tersebut meraih keuntungan menjelang tahun 2018.

Rancangan pemulihan tersebut juga menyaksikan nama MAS diubah kepada MAB.

Aspirasi pada waktu itu adalah untuk memastikan MAB meraih kejayaan sama seperti Japan Airlines Co Ltd (JAL).

Difahamkan, JAL telah memfailkan kebankrapan pada tahun 2010 selepas mengalami kerugian berterusan selama 10 tahun.

Walau bagaimanapun, ia berjaya dipulihkan dan kemudian kembali semula ke pasaran saham dalam tempoh kurang daripada tiga tahun.

Ketika pemulihan JAL dilakukan, syarikat penerbangan tersebut terpaksa membuang 1/3 daripada tenaga kerjanya.

JAL turut menerima bantuan penuh daripada kerajaan yang memberi dana sebanyak ¥300 billion (RMM11.37 bilion). 

Bagi MAB pula, ia kini sudah mencapai tahun terakhir dalam pelan penstrukturan semula lima tahun yang digariskan oleh Khazanah.

MAB dilaporkan sudah menggunakan sehingga 70% atau lebih daripada RM6 bilion yang disuntik oleh Khazanah, namun masih belum mencapai rancangan yang disasarkan.

Kebanyakan pemerhati industri berpandangan bahawa MAB gagal disebabkan satu sebab utama, iaitu kerana ia kekal sebagai syarikat yang dimiliki oleh kerajaan, di mana ia mengalami kelembapan selain daripada terbeban dengan jangkaan politik.

“Ramai ahli politik bimbang negara mereka akan menjadi tidak relevan sekiranya mereka mengabaikan syarikat penerbangan kebangsaan yang mengalami kerugian.

“Di kebanyakan tempat, pasaran cenderung untuk mengisi jurang itu – dengan syarat kerajaan tidak lagi terlibat,” kata seorang penganalisis penerbangan kepada The Malaysian Reserve.

Penganalisis tersebut turut berpandangan bahawa ia adalah langkah yang baik untuk menjual syarikat penerbangan yang dibelenggu hutang, dan negara juga tidak memerlukan syarikat penerbangan kebangsaan.

“Jika anda lihat pada segelintir negara Eropah, syarikat penerbangan kebangsaan tidak wujud, tetapi jumlah pelancong masih banyak.

“Daripada kerajaan melabur dalam sesuatu yang akan gagal, adalah lebih baik untuk membuat pelaburan dalam (sektor) pelancongan,” katanya.

Namun dari aspek politik, beliau mempercayai bahawa kerajaan tidak cenderung untuk menjual MAB.

“Sekiranya syarikat itu rugi, kerajaan mungkin perlu bertanya sama ada masih terdapat nilai untuk memiliki syarikat penerbangan kebangsaan selain daripada patriotisme atau maruah.

“Dan mereka akan tertanya-tanya sama ada ia masih masuk akal atau tidak untuk menyelamatkan syarikat penerbangan kebangsaan sementara semakin banyak negara membuka udara mereka kepada peserta baru dan syarikat penerbangan asing,” tambahnya.

Sama ada Khazanah patut berhenti atau tidak membantu MAB, pemerhati-pemerhati industri juga berkata bahawa ia akan menjadi satu keputusan yang sukar untuk dilakukan oleh kerajaan dari segi politik.

TIDAK MAMPU BERSAING DENGAN PENERBANGAN MODEN BERKOS RENDAH

MAB ditubuhkan pada tahun 1972, tetapi telah beroperasi di bawah pelbagai nama sejak tahun 1947 lagi.

Dalam pada itu, pengkritik melihat syarikat tersebut sebagai relik peninggalan zaman yang tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat penerbangan moden yang berkos rendah.

Ini termasuk syarikat AirAsia Group Bhd, yang sudah berkembang ke seluruh dunia dan berjaya mendominasi hampir 55% trafik penumpang Malaysia pada tahun 2018.

Menurut Brendan Sobie, ketua penganalis dan wakil Asia Tenggara Centre for Aviation, 6 daripada 7 syarikat penerbangan tidak mencatatkan keuntungan pada tahun 2018, manakala AirAsia yang menjadi syarikat ketujuh pula merekodkan keuntungan operasinya yang paling kecil dalam tempoh empat tahun.

“Masa depan yang tidak menentu buat MAB adalah ciri ketidakstabilan,” katanya dalam satu laporan.

Difahamkan, pertumbuhan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kelembapan daripada 11.2% pada 2017 kepada 2.4% pada 2018.

“Pertumbuhan dalam pasaran Malaysia secara keseluruhan pula merudum daripada 10% pada 2017 kepada 3% pada 2018,” tambah beliau.

Jelas Sobie, pertumbuhan dijangka akan terus kekal pada paras rendah sehingga ke angka pertengahan pada tahun 2019 memandangkan keuntungan terus berada di bawah tekanan dan situasi terlebih kapasiti sekali lagi menjadi kebimbangan.

Ujarnya lagi, AirAsia dan AirAsia X Bhd kini mempunyai kira-kira 50% daripada kapasiti keseluruhan di Malaysia, termasuk sekutunya di luar negara.

Sementara itu, MAB pula mempunyai 23% daripada kapasiti di Malaysia, termasuk anak syarikat serantaunya FlyFirely Sdn Bhd dan MASwings Sdn Bhd.

Walaupun MAB sudah lama menjadi lambang kebanggaan negara bagi rakyat Malaysia, namun pihak lain berkata bahawa kes sentimentalisme bertambah sukar berikutan peningkatan kerugian yang dialami.

Penganalisis meramalkan bahawa mewujudkan perkongsian strategik bersama mana-mana syarikat penerbangan tempatan atau asing sekali pun mungkin tidak akan mampu untuk menaikkan semula MAB.

APA BOLEH BERLAKU JIKA MAB TIDAK LAGI WUJUD?

Selepas berdekad-dekad jenama syarikat penerbangan menjadi lambang kebanggaan negara, melihat kehilangannya boleh menjadi satu prospek yang memalukan.

Sementara Dr Mahathir pertimbang smaa ada untuk menutup MAB atau tidak, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Mac menegaskan bahawa “hampir semua negara mempunyai syarikat penerbangan kebangsaannya tersendiri, jadi kita juga mesti mempunyai penerbangan kebangsaan kita.”

Tetapi dalam segelintir kes, kegagalan sesebuah syarikat penerbangan kebangsaan boleh membawa kepada kejayaan dalam bidang-bidang berkaitan yang lain.

Sebagai contoh, hampir tujuh tahun sejak syarikat penerbangan kebangsaan Hungary, Malév Ltd jatuh bankrap, Lapangan Terbang Budapest dilihat mampu mencatatkan prestasi yang cemerlang dalam tempoh yang pendek. 

Lapangan terbang itu bukan sahaja mampu terus bertahan selepas kejatuhan Malév, malah jumlah penumpang turut meningkat daripada 8.5 juta orang pada 2011 kepada 13.1 juta enam tahun kemudian. 

Kebanyakan pemerhati industri mempercayai bahawa terdapat kemungkinan besar senario yang serupa boleh berlaku di Malaysia dengan adanya syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang lain, sekiranya MAB tidak lagi wujud selepas ini.

Sumber: The Malaysian Reserve

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button