Gaya HidupIbu dan AnakMakan & Minum

7 Makanan Yang Perlu Dielakkan Bayi Di Bawah Umur Setahun

Imun bayi di bawah umur satu tahun masih belum cukup kuat, jadi tubuh badannya masih belum boleh menyesuaikan diri dengan dunia luar.

Bahkan makanan yang orang dewasa makan setiap hari juga tidak boleh diberikan kepada bayi sewenang-wenangnya kerana ia juga boleh menjejaskan kesihatan bayi. Berikut adalah jenis-jenis makanan yang boleh membahayakan si kecil anda.

1. Madu

Madu mengandungi sejenis bakteria toksik yang dipanggil clostridium botulinum yang boleh menyebabkan botulism dalam kalangan bayi di bawah usia setahun.

Bagi kebanyakan orang dewasa, bakteria tersebut tidak akan membahayakan. Namun, tidak bagi kanak-kanak yang masih terbentuk sistem imunnya. Pendek kata, madu tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah umur setahun.

2. Garam

Jika kanak-kanak mengambil terlampau banyak garam, buah pinggang mereka akan cenderung mengalami masalah. Kanak-kanak ini juga akan mempunyai tabiat untuk menggemari makanan yang masin apabila mereka dewasa, sekali gus meningkatkan risiko untuk mereka mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular yang lain.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengelak daripada menambah garam dalam diet anak mereka. Jangan berikan anak makanan yang masin seperti sosej, bakon, dan udang kering sehinggalah bayi mencecah usia 12 bulan.

3. Gula

Ibu bapa perlu mengehadkan pengambilan gula dalam diet bayi mereka kerana ia boleh membawa kepada masalah kerosakan gigi dan masalah dental yang lain. Kita juga perlu mengelak daripada memberikan anak-anak makanan yang manis seperti biskut, jus buah, dan aiskrim.

4. Buah-buahan

Sesetengah kanak-kanak alah terhadap buah-buahan yang masam seperti kiwi, strawberi, tomato, oren dan lemon. Buah terbaik untuk diberikan kepada kanak-kanak bagi merangsang deria rasa mereka adalah seperti pisang, mangga, avokado, dan epal.

5. Susu lembu

Bayi di bawah usia 1 tahun tidak boleh minum susu lembu kerana sistem penghadaman mereka tidak boleh mencerna enzim dan protein dalam susu lembu.

Susu lembu boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang mereka yang masih lemah. Tambahan pula, tidak seperti susu formula, susu lembu mengandungi sedikit kalori dan vitamin, yang tidak sesuai dengan perkembangan bayi.

6. Makanan laut

Kebanyakan jenis makanan laut seperti ketam, udang, dan kepah boleh menimbulkan alahan dalam kalangan kanak-kanak.

Ibu hanya boleh mula menyediakan makanan laut kepada anak mereka apabila usia mereka sekurang-kurangnya 9 bulan.

Namun sebelum usia tersebut, HelloDoktor menggalakkan untuk setiap ibu bapa mendapatkan konsultasi daripada doktor sebelum memberikan jenis makanan ini kepada bayi, apatah lagi jika terdapat sejarah alahan makanan laut dalam keluarga anda.

7. Hati haiwan

Hati haiwan merupakan sumber yang kaya dengan vitamin A, yang amat penting untuk perkembangan sistem imun dan keseluruhan kesihatan kanak-kanak.

Akan tetapi, hati haiwan juga mengandungi banyak toksin kerana ia bertindak sebagai penghapus toksin untuk badan. Jadi, jika anda mahu berikan anak anda hidangan yang mengandungi hati, pastikan anda memasaknya dengan teliti untuk menghapuskan racun.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker