AntarabangsaIsu Semasa

Trump Sudah Tarik Semula Sekatan Ke Atas Huawei, Tetapi…

Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik semula sekatan Huawei Technologies Co Ltd mungkin boleh mengurangkan ketegangan dengan China.

Bukan itu sahaja, malah situasi ini juga dijangka boleh membantu menamatkan perang dagang di antara kedua-dua kuasa dunia itu.

Tetapi setakat ini, keputusan itu dilihat sebagai salah satu yang paling teruk pernah diambil oleh Trump. Ia tidak menghentikan perang dingin teknologi, dan juga memberi petanda jelas bahawa Huawei hanya menjadi sasaran politik AS.

Kenyataan-kenyataan presiden berkontroversi itu ketika mesyuarat G-20 baru-baru ini juga menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk menamatkan perang dagang ini walaupun ancaman terhadap keselamatan negara masih berterusan.

Tetapi, Pengarah Majlis Ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow memberitahu media bahawa Huawei akan kekal berada di dalam ‘entity list’ AS, iaitu senarai individu dan syarikat yang dianggap oleh kerajaan negara itu mampu mendatangkan risiko terhadap keselamatan negaranya.

Tindakan Trump pada bulan Mei yang menyekat syarikat-syarikat AS daripada berurus niaga dengan Huawei pula telah mencetuskan rancangan China untuk tidak lagi bergantung pada teknologi AS.

China masih memerlukan cip-cip Amerika, tetapi walaupun dengan akses yang terhad, negara itu masih boleh cuba membangunkan teknologinya sendiri.

Kini, Huawei mempunyai lebih banyak insentif untuk melakukan pembangunan cipnya tersendiri.

Dalam pada itu, tindakan Trump itu juga membantu mengukuhkan lagi kedudukan Huawei bahawa ia digunakan sebagai ‘leveraj perdagangan’.

Berdasarkan sebuah transkrip yang diterbitkan atas talian, Trump berkata:

“Syarikat-syarikat AS boleh menjual peralatan mereka kepada Huawei. Saya bercakap tentang peralatan – di mana tiada masalah kecemasan negara dengannya.

“Huawei adalah satu situasi yang rumit. Kita bersetuju untuk meninggalkannya – kita akan meninggalkan Huawei sehingga ke penghujung. Kita akan lihat. Kita akan lihat ke mana hala tuju kita dengan perjanjian perdagangan itu,” katanya.

Ini merupakan pengakuan secara langsung bahawa pentadbiran beliau melarang penjualan beberapa peralatan yang tidak membawa sebarang implikasi keselamatan, dan bahawa Huawei hanyalah sasaran politik semata-mata.

Ini juga tidak melambangkan ‘potensi kesan buruk’ dalam menjual teknologi AS kepada syarikat-syarikat China seperti yang digariskan oleh Trump di dalam perintah eksekutifnya pada bulan Mei.

Sumber: Bloomberg

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close