Gaya HidupIbu dan Anak

6 Perkara Ini Patut Semua Ibubapa Lakukan Kepada Anak Remaja Mereka

Apabila anak beranjak ke dunia remaja, mereka akan melalui proses “kematangan” yang mana mereka fikir mereka sudah mampu melakukan keputusan sendiri dan tidak mahu mendengar nasihat ibubapa walhal mereka sebenarnya belum cukup matang untuk dilepaskan sepenuhnya.

Ia seperti perkara biasa jika ibubapa akan bertengkar dengan anak remaja mereka. Namun sebagai ibubapa adalah tanggungjawab kita untuk mengelak perkara ini berlaku dan pada masa yang sama tidak mengabaikan keselamatan mereka.

Oleh itu apa yang perlu ibubapa lakukan?

Saling hormat-menghormati adalah kunci kepada permasalahan ini. Dalam erti kata lain ialah untuk melihat dan mengakui kemampuan dan kualiti yang ada pada anak remaja anda dan mengambil pandangan mereka.

Ini kerana anak remaja ini mahu dilihat sebagai individu yang berkebolehan tetapi pada masa yang sama mereka perlu menghormati ibubapa yang masih bertanggungjawab ke atas diri mereka.

Dengan itu perkara ini memerlukan kerjasama oleh kedua belah pihak dan ini merupakan beberapa tips untuk anda saling hormat-menghormati.

1. Bersifat empati dan belas kasihan

Sifat empati ialah kemampuan untuk lebih memahami dan berkongsi perasaan antara satu sama lain manakala belas kasihan yang dimaksudkan ini ialah untuk mengangkat kesusahan yang dialami oleh seseorang.

Kedua-dua sifat ini adalah penting untuk saling menghormati. Cuba untuk lebih bersifat empati terhadap anak remaja anda dengan mengimbau keadaan semasa anda muda remaja satu ketika dahulu.

Cubalah untuk memahami situasi dari perspektif anak anda.

2. Menjadi pendengar yang baik

Cubalah mendengar apa yang anak anda mahu katakan sebelum membuat sesuatu keputusan. Berilah mereka ruang untuk membuat sesuatu keputusan dan buatlah keputusan sama ada bersetuju atau tidak setelah itu.

Janganlah menganggap apabila anda sudi mendengar apa yang mereka mahu katakan bermakna anda bersetuju dengan mereka tetapi ia adalah untuk menunjukkan anda menghormati pandangan mereka.

3. Konsisten dengan apa yang dikatakan

Untuk memberi contoh yang baik kepada anak remaja anda, anda harus konsisten dengan kata-kata dan kelakuan anda apatah lagi dengan undang-undang serta keputusan yang telah anda tetapkan. Janganlah melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang sudah diputuskan.

Jika anda tidak konsisten dengan semua ini, anda bakal hilang kepercayaan dan rasa hormat daripada anak anda.

Contohnya jika bapa memarahi anak kerana merokok tetapi bapa turut merokok.

4. Beri undang-undang yang munasabah

Anak remaja sudah semestinya masih dibawah tanggungjawab dan perihal ibubapa. Oleh itu mereka perlulah mengikuti kata dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh anda. Namun begitu, undang-undang ini haruslah munasabah, logik, adil dan sesuai dengan mereka sebagai remaja.

Bertolak-ansurlah dengan mereka dan dengar pandangan mereka. Jangan anggap mereka sebagai kanak-kanak lagi. Undang-undang ini janganlah untuk mengongkong sebaiknya untuk menjaga keselamatan dan mendidik.

5. Jujur

Adalah sukar untuk ibubapa yang telah melakukan kesalahan untuk mengakuinya tetapi jika anda sebagai ibubapa telah berlaku salah kepada anak anda, jujurlah dengan mereka. Kerana ini akan menunjukkan anda menghormati mereka dan memupuk mereka untuk bersikap jujur dengan anda juga.

6. Jangan memalukan anak remaja anda

Jangan sesekali mengecil-ngecil atau memalukan anak anda sama ada di khalayak ramai mahupun di rumah walaupun perkara yang dilakukan oleh anak anda itu salah. Memanggil nama buruk kepada anak anda juga akan hanya menyemarakkan perasaan marah anak anda itu.

Berhati-hatilah dengan setiap ucapan yang dikeluarkan kerana kata-kata ibubapa boleh memberikan impak yang besar kepada anak.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button