AntarabangsaIsu Semasa

Trump Mahu Tarik Keluar Tentera AS Dari Afghanistan, Tetapi Bimbang Jika…

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk menghantar pulang kesemua 9,000 anggota tentera AS yang sedang berada di Afghanistan.

Namun pada masa yang sama, beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa sekiranya tiada tentera AS yang bertapak di Afghanistan, negara itu boleh digunakan sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan pengganas ke atas Amerika.

Dalam satu wawancara bersama Fox News baru-baru ini, Trump berkata masalah pengunduran tentera AS dari Afghanistan yang menjadi tapak peperangan paling lama Amerika, adalah negara itu merupakan “makmal untuk pengganas.”

“Saya menggelarnya (Afghanistan) Harvard pengganas,” kata Trump. Harvard merujuk kepada salah satu universiti terbaik di dunia yang terletak di AS.

Presiden berkontroversi itu turut mendedahkan perbualan beliau bersama pegawai-pegawai kanan tentera berkenaan rancangan pengunduran tentera AS dari Afghanistan.

Namun, mereka memaklumkan Trump bahawa adalah lebih baik untuk memerangi pengganas di Afghanistan berbanding di negara sendiri.

“Tuan, saya lebih rela menyerang mereka di sana (Afghanistan) berbanding menyerang mereka di tanah kita,” kata seorang Jeneral kepada Trump.

Jelas jutawan Republikan itu lagi, jika AS menghantar pulang tenteranya sekali pun, ia tetap akan “meninggalkan perisikan yang amat kuat” untuk terus berada di Afghanistan.

Memetik laporan Reuters, wawancara tersebut dirakam pada hujung minggu lalu sebelum insiden serangan bom yang dilancarkan oleh Taliban di Kabul yang mengorbankan enam nyawa sementara 105 mangsa lain tercedera.

Sementara itu, wakil khas keamanan AS, Zalmay Khalilzad telah terlibat dalam rundingan perdamaian pusingan ke-7 bersama Taliban di Qatar yang bermatlamat untuk mengakhiri konflik yang sudah berlanjutan selama 18 tahun di antara AS dan militan tersebut.

Fokus rundingan damai tersebut turut membabitkan permintaan Taliban yang mahu tentera AS berundur, manakala AS pula meminta jaminan bahawa Afghanistan tidak akan digunakan sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan ke negara-negara lain.

Sumber: Reuters

Show More

Related Articles

Back to top button