Sukan

‘Soccer’ VS ‘Football’, Siapa Yang Bakal Mara Pada Perlawanan Akhir Piala Dunia Wanita 2019?

Jika anda baru sahaja sedar tentang perlawanan Piala Dunia Wanita 2019 sedang berlangsung di France, anda masih belum terlambat untuk menonton perlawanan separuh akhirnya pada 3 pagi (3 Julai 2019) di antara Amerika Syarikat dan England.

 

Thailand Wakili Rantau Asia Tenggara

Piala Dunia Wanita FIFA 2019 ialah edisi kelapan Piala Dunia Wanita FIFA, kejohanan bola sepak antarabangsa setiap empat tahun yang ditandingi oleh pasukan kebangsaan wanita ahli persekutuan Fédération Internationale de Football Association (FIFA).

Ia bakal berlangsung sehingga 7 Julai ini dan satu-satunya wakil dariapda rantau Asia Tenggara pada temasya kali ini ialah pasukan daripada negara Thailand.

Mereka walau bagaimanapun dibelasah oleh juara bertahan Amerika Syarikat dengan keputusan 13-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stade Auguste-Delaune.

 

Amerika Dikatakan Tidak Menghormati Pihak Lawan?

Amerika Syarikat yang memenangi edisi empat tahun lalu di Kanada bermula dengan garang sejak minit-minit awal permainan. Walaupun menang besar, pasukan Amerika ini mendapat kritikan kerana tidak menghormati pihak lawan yang kini berada di kedudukan ke-34 ranking FIFA.

Tindakan Amerika menjaringkan enam gol dalam tempoh 16 minit terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan nyata tidak disenangi oleh ramai pihak.

Kemenangan besar Amerika bukan sahaja mengatasi rekod yang dicatat oleh pasukan itu dengan kemenangan 7-0 dalam temasya Piala Dunia Wanita malah mengatasi rekod yang dicatat oleh Jerman ketika membelasah pasukan Argentina dengan keputusan 11-0 pada edisi 2007.

 

Dunia Lebih Memerhatikan Piala Dunia Wanita Kali Ini

Piala Dunia Wanita FIFA kali ini dilaporkan mendapat perhatian luar biasa dengan jumlah penonton bagi setiap negara meningkat hampir dua kali ganda berbanding edisi sebelum ini di Kanada pada tahun 2015.

Jumlah penonton bagi perlawanan melibatkan pasukan England sahaja meningkat daripada 6.1 juta pada 9 Jun ketika skuad the Lioness menentang Scotland, kepada 7.6 juta pada 27 Jun pada suku akhir menentang Norway.

Jumlah tersebut dijangka meningkat bagi perlawanan separuh akhir England menentang juara bertahan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, jam 3 pagi waktu Malaysia.

Pada final edisi 2015, 25.4 juta orang menonton final Piala Dunia Wanita 2015 di mana AS menewaskan Jepun 5-2, yang menyaksikan peningkatan 41 peratus berbanding final 1999 semasa AS menewaskan China.

Pada edisi 2015, 750 juta penonton dicatatkan dan FIFA menjangkakan jumlah penonton akan meningkat kepada 1 bilion bagi Perancis 2019.

Jangkaan tersebut berdasarkan minat yang semakin meningkat dalam bola sepak wanita sehingga ada pemain yang menuntut jumlah bayaran yang sama dengan kaum lelaki namun tidak mustahil ianya boleh berlaku satu hari nanti.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button