Gaya HidupHiburan

Keringat Anak Malaysia Dalam Filem Toy Story 4

Toy Story 4 – The Adventure Of A Lifetime kali ini memiliki keistimewaan tersendiri untuk kita sebagai rakyat Malaysia.

Ini kerana salah satu artis susun atur bagi filem ini adalah anak jati Malaysia yang kini bekerja untuk Pixar Animation Studios di California, Amerika Syarikat.

 

Diberi Tanggungjawab Setelah Menjadi Pelatih

Andrea Goh Siau Wei, 26 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur ini dipertanggungjawabkan untuk menentukan kerangka filem, sudut kamera, jalan kamera dan pencahayaan dalam setiap babak animasi dalam filem yang menggunakan suara bintang Hollywood terkenal seperti Tom Allen, Keanu Reeves dan Tim Allen.

Andrea diambil bekerja di Pixar sebagai pelatih di bahagian pengarah teknikal tiga tahun yang lalu dan sejak daripada itu beliau telah membuktikan kemampuan diri dan berjaya meraih tanggungjawab yang lebih besar.

Sebelum ini Andrea juga diberi peluang untuk bekerja dalam filem keluaran Pixar yang juga popular seperti Cars 3 dan Incredibles 2.

 

Bagaimana Andrea Boleh Bekerja Di Pixar?

Andrea berkongsi dalam siaran media oleh The One Academy bahawa pada awalnya dia berfikir untuk meneruskan kerjaya menjadi seorang doktor ataupun artis sehinggalah Pixar mengadakan sebuah seminar di The One Academy yang mengubah segalanya untuk dirinya,

“Pixar telah menghantar sembilan orang ke KL dan saya mendaftarkan diri ke akademi tersebut setelah tahu saya mahu bekerja di Pixar,” katanya.

Andrea yang merupakan graduan Digital Animation dari akademi tersebut pada tahun 2013 telah memohon dalam program Pixar Undergraduate Programme (PUP) dan beliau berjaya diterima masuk.

 

Nasihat Andrea Untuk Berjaya Dalam Bidang Animasi

Selama tiga bulan, pelatih sepertinya memperoleh peluang untuk mempelajari cara pembuatan filem oleh Pixar dan meneroka pelbagai peluang kerjaya memandangkan mereka mendapat pengalaman secara langsung dalam bidang penerbitan studio serta bimbingan oleh warga profesional di dalam industri tersebut.

Andrea menasihati sesiapa yang mahu menceburkan diri di dalam bidang ini harus cuba bermula dengan memberi tumpuan dalam kelas dan adalah penting untuk seseorang fikir secara lebih mendalam.

“Cari sesuatu yang anda betul-betul mahu. Gali dengan lebih dalam, buatlah kajian dan jangan berhenti mencuba, terus buat latihan dan kerjalah sekeras-kerasnya,” nasihat Andrea.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button