AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Penculikan Rentas Sempadan Masih Lagi Berlaku?

Kegiatan jenayah menculik untuk wang tebusan (KFR) yang dilancarkan oleh penjenayah dan militan dilihat sudah menjadi satu ‘trend’ yang amat membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di Pantai Timur Sabah berhampiran dengan perairan Filipina yang dianggap sebagai ‘kawasan panas’.

Berikutan itu, Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan lalu pula telah meletakkan Malaysia di dalam senarai ‘K’, yang merujuk kepada negara-negara berisiko terhadap “penculikan dan diambil menjadi tembusan”.

Baru-baru ini pula, 10 orang nelayan berbangsa Filipina dilaporkan telah diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di negara itu dan terkenal dalam melakukan kegiatan KFR.

Namun menurut Philip Golingai menerusi artikelnya di The Star bertajuk “Where kiddapping is a business”, apa yang menghairankan adalah anggota militan tersebut dikatakan selalunya tidak akan menculik warganegara mereka sendiri.

Tetapi kali ini, militan tersebut tetap melakukan penculikan walaupun sudah mengenal pasti asal usul nelayan-nelayan berkenaan.

“Sekiranya mereka ialah nelayan warga Indonesia, mereka akan bernilai tinggi (bagi militan) untuk mendapatkan wang tebusan.

“Tetapi tebusan-tebusan ini tidak bernilai tinggi,” kata sebuah sumber perisikan, menurut Philip.

Difahamkan, sesetengah sumber perisikan berkata bahawa kumpulan KFR mungkin sudah terdesak kerana “sel-sel di kepulauan Jolo sudah kosong”.

Persoalannya sekarang, apa sebenarnya faktor utama yang mendorong kegiatan penculikan untuk wang tebusan?

Philip berpandangan bahawa puncanya adalah berkaitan geografi dan kemiskinan.

Jarak Pantai Timur Sabah hanyalah beberapa minit sahaja dari selatan Filipina, di mana penculikan merupakan ‘perniagaan’.

Terdapat ramai orang yang dibelenggu kemiskinan tegar yang terdesak dan mempunyai akses terhadap senjata di sana.

Jika kita lihat di di Johor Bahru pula, tidak berlaku sebarang penculikan rentas sempadan di sana memandangkan ia berjiran dengan negara Singapura yang kaya.

Walaupun kebanyakan kes penculikan berlaku di Sabah, ia tidak bermakna negeri itu tidak selamat langsung untuk dikunjungi.

Kes penculikan terakhir membabitkan pelancong di pantai timur Sabah berlaku pada 2 April 2014, iaitu lima tahun dahulu.

Sejak berlakunya insiden tersebut, pasukan keselamatan telah mengetatkan lagi tahap keselamatan di resort-resort pulau dan keselamatan pelancong terjaga.

Bukan itu sahaja, malah pengumpulan perisikan juga telah dipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi.

Beberapa kes penculikan terbaru yang berlaku pula tidak membabitkan pelancong, tetapi krew kapal warga Malaysia, Indonesia, atau Vietnam.

Namun, ia tidak berlaku di lokasi-lokasi percutian, tetapi sebaliknya di kawasan perairan terbuka di segi tiga Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Jelas Philip, sekiranya selatan Filipina menjadi jiran yang kaya, maka penculikan rentas sempadan akan berhenti.

Sumber: The Star – “Where kidnapping is a business”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close