AntarabangsaIsu Semasa

Kem Tentera Filipina Diserang Pengebom Berani Mati

Pihak polis di Filipina telah meningkatkan lagi tahap keselamatan berikutan serangan bom berani mati di sebuah kem tentera di bandar Indanan daerah Sulu, selatan Manilla pada Jumaat.

Dua letupan bom itu mengorbankan lapan orang, termasuk tiga anggota tentera manakala 22 orang lagi tercedera.

Serangan tersebut disyaki dilancarkan oleh dua suspek militan daripada kumpulan militan Abu Sayyaf, yang turut terbunuh ketika melakukannya.

Menurut pengarah National Capital Region Police Office, Mejar Jeneral Guillermo Eleazar, semua unit di Metro Manilla berada dalam keadaan siap siaga sejak Jumaat malam.

“Tiada ancaman dikesan dalam National Capital Region tetapi sebagai langkah tindak balas pro-aktif terhadap serangan pengganas ini, seluruh wilayah kini berada dalam status berjaga-jaga secara penuh,” katanya.

Kem yang dibom itu dilaporkan adalah milik unit tentera 1st Brigade Combat Team, yang baru-baru ini dihantar ke Sulu untuk memerangi kumpulan Abu Sayyaf, yang disifatkan sebagai pengganas yang paling ganas di selatan Filipina.

Pasukan penyiasat masih sedang berusaha mengenal pasti identiti pengebom dan jenis bahan letupan yang digunakan.

Memetik laporan Straits Times, agensi berita milik IS bernama Amaq melaporkan bahawa militan itu mengaku bertanggungjawab sebagai dalang di sebalik serangan tersebut.

Difahamkan juga, Abu Sayyaf telah bersumpah taat setia dengan militan IS.

Agensi tersebut turut menerbitkan gambar dua lelaki muda yang memakai jaket bom berdiri di sebelah bendera hitam.

Sementara itu, jurucakap Joint Task Force Sulu, Gerald Monfort berkata bahawa suspek utama ialah Abu Sayyaf, memandangkan mereka sahaja yang mempunyai motif keganasan.

Sumber: Straits Times

Show More

Related Articles

Back to top button