Hiburan

Ejen Ali The Movie Temui Penonton Hujung Tahun Ini

Filem Ejen Ali: The Movie menggunakan kepakaran 80 pereka animasi dan pelukis grafik tempatan bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid, berkata penambahan watak dan perincian latar membuatkan pihaknya menggandakan usaha bagi membolehkan naskhah itu ditayangkan, akhir tahun ini.

“Pereka kami bertungkus lumus menyempurnakan tugasan masing-masing dalam menghasilkan watak sedia ada, selain menambah kemunculan karakter baharu termasuk antagonis, ejen dan pemimpin bandar Cyberaya.

“Sudah pasti Wau Animation cukup teliti, baik dari segi lakaran watak, perincian pergerakan setiap karakter, aturan babak, latar dan pelbagai aspek lain dalam menghidupkan animasi ini di layar perak.

“Setiap elemen memerlukan proses panjang, malah kerja praproduksi filem ini sudah dimulakan sejak dua tahun lalu, terutama membabitkan lakaran. Kita mahu filem ini sama tahapnya dengan produk keluaran syarikat antarabangsa seperti Pixar, ‎Walt Disney Pictures dan Sony Pictures Animation,” katanya mengenai animasi berbajet RM6 juta itu.

Produksi yang direalisasikan dengan kerjasama Primework Studios itu mensasarkan kutipan RM20 juta hasil tayangan di kira-kira 120 pawagam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya percaya filem terbabit bakal diterima pelbagai lapisan masyarakat hasil impak dan populariti animasi berkenaan.

“Industri perfileman tempatan dilihat mencatatkan peningkatan kutipan positif termasuk animasi BoboiBoy The Movie yang mencatat kutipan RM16 juta.

“Justeru sokongan kaki wayang dan pawagam diharap mampu melonjakkan pulangan terhadap filem yang dijangka dapat memasuki 120 pawagam ini.

“Anggaran RM20 juta itu adalah untuk pasaran tempatan sahaja. Kita harap populariti animasi yang dipasarkan di 50 negara ini juga mampu menempatkan Ejen Ali The Movie dalam kalendar pawagam luar, “ katanya di majlis tontonan teaser pertama filem itu.

Filem berdurasi 90 minit terbabit memaparkan kisah pengembaraan Ejen Ali dan rakan seperjuangan dalam menangkis ancaman baharu yang membawa kemusnahan kepada bandar Cyberaya.

Selain tayangan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, pihak penerbit turut mengintai pasaran beberapa negara lain.

Terdahulu, siri animasi Ejen Ali mula mendapat tempat dalam kalangan negara jiran apabila ditayangkan di 50 negara dengan pasaran terbaru, United Kingdom.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker