AntarabangsaIsu Semasa

“Mahu Dakwa Saya? Saya Akan Penjarakan Mereka Semua!” – Duterte

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mengeluarkan ugutan untuk memenjarakan penentang-penentangnya sekiranya mereka cuba untuk mendakwa beliau.

Duterte melepaskan kemarahannya pada Khamis, 27 Jun berikutan tuduhan bahawa beliau berpihak kepada China dalam sebuah insiden yang menyaksikan bot nelayan Filipina tenggelam akibat dilanggar oleh kapal China.

Lebih memburukkan keadaan, bot nelayan tersebut berada di dalam zon eksklusif ekonomi (EEZ) Filipina yang sepatutnya tidak boleh dimasuki oleh kapal asing.

Pemimpin berkontroversi itu mengulangi kenyataan China bahawa insiden tersebut merupakan satu kemalangan yang tidak disengajakan.

Duterte turut menolak tuduhan bahawa terdapat kehadiran nelayan China di EEZ tersebut, namun pada masa yang sama berkata beliau akan membenarkannya atas dasar persahabatan.

Beberapa pengkritik berprofil tinggi, termasuk seorang hakim dan bekas menteri luar, menyifatkan perkara tersebut sebagai pelanggaran Perlembagaan, sekali gus melayakkan pendakwaan dikenakan ke atas Duterte.

“Saya? Akan didakwa? Saya akan memenjarakan mereka semua. Anda cuba buat dan saya akan melakukannya,” tegas beliau.

Sebuah laporan oleh Asean Parliamentarians for Human Rights pada Selasa turut mengecam pentadbiran Duterte kerana membuat ugutan, retorik agresif, dan tuduhan jenayah secara melampau untuk menutup mulut pengkritiknya.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet berkata, warga Filipina yang lantang bersuara berdepan risiko memandangkan ancaman dikeluarkan secara terbuka oleh pegawai kerajaan.

Dalam pada itu, reaksi Duterte dalam insiden kapal tenggelam tersebut dilihat seperti beliau mengambil pendekatan untuk mengelak sebarang konfrontasi dengan China dan sebagai balasan memperoleh insentif-insentif ekonomi daripada gergasi Asia itu.

Sesetengah penganalisis berpandangan bahawa tawaran China untuk memberi pinjaman kewangan bagi pembinaan infrastruktur serta janji untuk melakukan pelaburan besar di Filipina telah memenangi hati Duterte.

Sementara itu, jurucakap presiden, Salvador Panelo berkata bahawa pemimpin brutal yang turut dikenali sebagai “The Punisher” itu berasa kecewa kerana orang ramai gagal melihat bahawa beliau sebenarnya mengutamakan kepentingan negara.

“Beliau tidak faham mengapa orang ramai membantah dasarnya,” kata Panelo.

 

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button