Bisnes & Ekonomi

Ekonomi Singapura Dijangka Meleset Akibat Perang Dagang

Singapura dijangka mengalami kemelesetan ekonomi berskala rendah pada suku ketiga tahun ini disebabkan ketidakstabilan prospek perdagangan global, kata Maybank Kim Eng Research.

Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat menjejaskan ekonomi negara itu yang banyak bergantung kepada eksport.

Ekonomi Singapura dijangka berkembang pada kadar yang paling perlahan dalam satu dekad tahun ini, dan ada yang meramalkan kemelesetan pada tahun 2020, dengan hab pembuatan berteknologi tinggi itu lebih terdedah kepada perang perdagangan daripada yang lain di Asia Tenggara.

Ekonomi Singapura dijangka berkembang 1.3 peratus tahun ini, turun daripada unjuran sebelum ini sebanyak 1.6 peratus dan lebih rendah daripada jangkaan kerajaan Singapura antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.

“Ekonomi Singapura berada dalam perjalanan yang lebih berat,” kata Ravi Menon, Ketua Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

“Gangguan kepada rantaian bekalan berkemungkinan semakin meningkat apabila perang perdagangan semakin meruncingdan AS menguatkan kawalan eksport ke lebih banyak firma teknologi China,” kata pakar ekonomi Maybank Kim Eng, Chua Hak Bin dan Lee Ju Ye, dalam satu nota.

Kejatuhan dalam eksport menjejaskan sektor pembuatan, yang menguncup lebih daripada yang diharapkan pada Mei.

Tinjauan untuk sektor elektronik, yang membentuk 27 peratus daripada pengeluaran perkilangan juga semakin lemah sejak kawalan eksport AS.

Antara firma yang terbabit dalam sektor elektronik yang terjejas adalah Broadcom Inc dan Intel Corp, yang beroperasi di Singapura.

Pihak Berkuasa Monetari Singapura, yang menggunakan kadar tukaran sebagai kayu pengukur utamanya, tidak mengubah tetapan dasarnya pada April.

Menon berkata dasar monetari semasa adalah sesuai, tetapi ditanya tentang prospek langkah dasar monetari luar kitaran, beliau menambah bahawa tiada apa-apa yang mustahil.

Kali terakhir MAS membuat langkah kitaran luar adalah pada Januari 2015 untuk mengatasi tekanan deflasi dan pertumbuhan perlahan.

“Terdapat banyak faktor yang kita perlu teliti. Sudah tentu penganalisis akan menghasilkan pelbagai kemungkinan dan saya tidak akan melaksanakan apa sahaja dasar yang sesuai untuk masa ini,” kata Menon.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button