Isu SemasaTempatan

Ahli Parlimen Boleh Dihukum Jika Gagal Lakukan Satu Perkara Ini

Speaker akan memberi hukuman terhadap mana-mana Ahli Parlimen (MP) yang gagal mengisytihar harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya Parlimen meluluskan usul khas yang mewajibkan semua MP untuk berbuat demikian.

Memetik laporan The Star, sebuah sumber mengesahkan bahawa dokumen untuk usul khas tersebut sudah disediakan dan akan dibentangkan pada 1 Julai ketika persidangan Parlimen.

Sebuah lagi sumber berkata, kerajaan tidak merancang untuk mewujudkan rang undang-undang (RUU) bagi perkara berkenaan, memandangkan ia lebih mudah untuk diluluskan menerusi usul khas.

Difahamkan, usul khas hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan. Menurut sumber lagi, jenis hukuman pula bergantung kepada budi bicara Speaker.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan bahawa beliau yang akan membentangkan usul khas tersebut nanti.

Menteri Undang-Undang itu berkata, usul pengisytiharan aset ini merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“MP Pakatan perlu mengambil serius perkara ini. Ini terkandung di dalam manifesto mereka,” katanya.

Ini merupakan cubaan kali kedua kerajaan untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM.

Kali pertama sebelum ini hanya untuk Ahli Parlimen daripada blok PH, yang dilaporkan secara sukarela mengisytihar harta mereka kepada suruhanjaya tersebut.

Pengisytiharan aset mereka juga diterbitkan kepada umum di laman sesawang SPRM sejak 1 November lepas.

Cadangan untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang untuk mengisytihar aset kepada SPRM mula dibangkitkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Mei.

Setakat ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang khusus yang mewajibkan Ahli Parlimen mengisytihar harta mereka.

Jelas Liew, mekanisme untuk mengisytihar aset masih kekal menerusi portal pengisytiharan aset SPRM, yang boleh diakses oleh orang awam.

Berdasarkan pemeriksaan The Star setakat Jumaat, 28 Jun 2019, maklumat 16 orang Ahli Parlimen PH masih belum dimuat naik di portal pengisytiharan aset SPRM.

Menurut SPRM, 88.6% Ahli Parlimen PH sudah mengisytihar aset mereka.

 

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button