Ibu dan Anak

Mengapa Ibu Lepas Bersalin Perlu Melakukan 6 Amalan Pantang Ini

 Pada asasnya, berpantang selepas bersalin adalah bertujuan mengeluarkan angin dalam badan selepas bersalin, menggalakkan peredaran darah, menguatkan tulang sendi serta meningkatkan kualiti dan kuantiti susu ibu.

Budaya pantang ini juga bukan hanya berlaku di kalangan orang Melayu tetapi juga bagi kaum Cina dan India. Malah sebenarnya konsepnya lebih kurang sama sahaja.

Berikut ialah 6 amalan berpantang yang masih diamalkan sehingga kini dan mengapa ia dilakukan yang dikongsikan oleh HelloDoktor:

1. Urutan tradisional

Antara amalan penting bagi ibu selepas bersalin adalah mendapatkan urutan postnatal. Urutan berpantang dilakukan bagi mengembalikan tenaga ibu sekali gus menyegarkan tubuh badan mereka selepas penat lelah melalui proses bersalin yang menggunakan banyak tenaga. Urutan berpantang yang betul juga membantu ibu melancarkan serta memulihkan aliran darah. Ibu baru disarankan untuk mendapatkan khidmat tukang urut yang benar-benar pakar dalam perurutan semasa berpantang.

2. Bertungku

Bertungku merupakan amalan tradisional yang dilakukan oleh ibu selepas bersalin. Tujuannya adalah untuk mengecutkan rahim serta memecahkan darah beku dan lemak khususnya pada bahagian perut ibu. Bertungku memerlukan batu yang telah dipanaskan, kemudian dibalut menggunakan kain batik atau tuala, dan dituam secara perlahan-lahan pada perut.

3. Berbengkung

Ibu baru lepas bersalin biasanya akan memakai bengkung dengan tujuan utama untuk mengembalikan bentuk tubuh badan ramping seperti sebelum hamil. Selain itu, amalan berbengkung juga diamalkan bagi mengelakkan angin sejuk daripada masuk ke liang-liang perut. Bengkung biasanya mula dipakai selepas empat ke lima hari semasa berpantang, serta dikenakan sepanjang masa dalam tempoh berpantang. Ia hanya akan dibuka semasa hendak mandi. Cara pemakaian bengkung yang betul adalah mula dipakai dari bawah dengan menutup semua abdomen, dan diikat sehingga ke bahagian bawah payudara.

4. Berpilis

Pilis adalah ramuan herba yang ditampal pada dahi ibu semasa berpantang. Pilis disapu untuk mengelakkan ibu pening kepala. Malahan itu, bidan yang berpengalaman menegaskan pemakaian pilis dibuat bagi mengelakkan ibu mengalami rabun mata pada usia muda.

5. Bertangas

Bertangas biasanya dilakukan selepas ibu sudah kering daripada darah nifas. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan darah cair atau bau busuk pada kemaluan ibu. Semasa melakukan amalan ini, ibu disyorkan untuk menarik nafas dan melakukan senaman kemutan.

set bersalin

6. Pemakanan

Menyebut tentang amalan berpantang, kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan pemakanan. Lazimnya, ibu baru bersalin akan menganggap menu berpantang sebagai hidangan yang membosankan kerana mereka perlu mengawal selera dan hanya boleh makan makanan yang tertentu sahaja.

Kebanyakan ibu moden kini meneruskan amalan berpantang makan mengikut yang disarankan oleh nenek moyang bagi menjaga kesihatan tubuh badan mereka, selain mendapatkan kembali susuk tubuh yang diingini seperti sebelum hamil.

Antara makanan yang perlu dielakkan daripada diambil oleh ibu selepas bersalin adalah makanan yang sejuk, berangin dan berais. Ibu baharu juga disarankan mengambil makanan yang mengandungi nutrien seimbang dan sihat bagi mengembalikan tenaga mereka serta membolehkan mereka menjaga bayi yang baru lahir.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker