AntarabangsaIsu Semasa

Konflik Bersenjata Indonesia-Papua ‘Lahirkan’ Ramai Pejuang Remaja

Konflik bersenjata berpanjangan di antara Tentera Indonesia dan warga Papua yang mahu menuntut kemerdekaan dilaporkan turut menyaksikan pembabitan kanak-kanak dan remaja lelaki sebagai pejuang.

Memetik laporan media antarabangsa, cubaan Indonesia untuk menangkis pergerakan itu sebaliknya telah ‘melahirkan’ barisan pejuang generasi baru daripada pihak Papua.

Tentera Pembebasan Kebangsaan Papua Barat (TPNB) dilaporkan aktif menentang kawalan Indonesia di wilayah paling timur negara itu sejak awal tahun 1960-an lagi.

Kanak-kanak dan remaja lelaki Papua pula dikatakan membuat pilihan untuk menjadi pejuang secara rela untuk menentang Indonesia berikutan operasi ketenteraan yang dilancarkan di Papua.

Undang-undang antarabangsa menetapkan bahawa kanak-kanak di bawah usia 18 tahun serta pengrekrutan dan penggunaan kanak-kanak bawah 15 tahun bagi tujuan ketenteraan adalah jenayah perang di bawah Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa 2002.

Hampir 170 buah negara, termasuk Indonesia telah meratifikasikan perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mewajibkan kerajaan untuk menghentikan pengrekrutan mana-mana individu di bawah usia 18 tahun, dan berusaha ke arah menamatkan pengeksploitasian tentera ke atas kanak-kanak oleh tentera kerajaan dan kumpulan-kumpulan bersenjata bukan kerajaan.

Sebby Sambom, seorang jurucakap Tentera Pembebasan yang menetap di negara jiran, Papua New Guinea, mengakui bahawa barisan pejuangnya merangkumi individu di bawah usia 18 tahun, sambil menyifatkan perkara ini sebagai sebahagian daripada sejarah dan perjuangan Papua Barat untuk memperoleh kemerdekaan.

Walaupun tidak dilengkapi penuh dengan senjata, pejuang Papua telah menentang Indonesia sejak negara itu mula mengambil alih wilayah yang kaya dengan mineral tersebut daripada Belanda pada 1962.

Warga Papua yang telah mengisytiharkan kemerdekaan setahun sebelum itu, melihat Indonesia sebagai penceroboh yang menguasai wilayah itu menerusi referendum palsu pada penghujung 1960-an.

Kerajaan Indonesia pula bertegas bahawa ia tidak akan melepaskan Papua yang kaya dengan sumber mineral.

Menurut pegawai kerajaan, wilayah tersebut merupakan hak Indonesia yang sah di bawah undang-undang antarabangsa memandangkan ia pernah menjadi sebahagian daripada empayar Hindia Timur Belanda yang menjadi asas kepada sempadan moden Indonesia.

“Kewujudan tentera kanak-kanak adalah petanda bahawa konflik Papua Barat ini sebenarnya jauh lebih serius berbanding apa yang telah diakui oleh seluruh dunia,” kata Veronica Koman, peguam hak asasi manusia.

“Papua Barat memerlukan campur tangan antarabangsa dengan segera kerana tentera kanak-kanak sendiri adalah mangsa.

“Pendekatan keselamatan kerajaan Indonesia telah mewujudkan konflik yang tidak dapat dielakkan dengan mengubah generasi-generasi Papua Barat menjadi ganas,” katanya.

Sebuah gambar yang diambil pada bulan Mei oleh seorang anggota Tentera Pembebasan di kawasan Nduga menunjukkan empat lelaki yang dipercayai dalam lingkungan usia pra-remaja sehingga remaja.

Selain itu, terdapat juga empat lelaki dewasa di dalam gambar itu, di mana mereka semua memegang senjata tentera.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas berapa ramai remaja yang terlibat secara langsung di dalam konflik berkenaan atau apa peranan khusus mereka.

Difahamkan, ribuan orang awam telah kehilangan tempat tinggal akibat operasi ketenteraan yang dilancarkan susulan serangan pada bulan Disember lalu yang dilancarkan oleh TPNB yang mengorbankan 19 pekerja pembinaan.

Sumber: The Star – AP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button