Isu SemasaKesihatanTempatan

Wabak Campak Gua Musang Menular?

Sejak kebelakangan ini, kes kematian membabitkan komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang pada mulanya dikatakan berpunca daripada jangkitan paru-paru mendapat perhatian Kementerian Kesihatan (KKM). Bagaimanapun, laporan terkini mendapati ianya berpunca daripada wabak measles atau demam campak.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, setakat 17 Jun 2019, jumlah kes yang dilaporkan adalah 113 kes termasuk tiga kematian. Kes yang masih berada di dalam wad berjumlah 52 kes termasuk 49 di wad biasa dan tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes jangkitan wabak campak itu sejumlah 20 orang asli sudah sembuh daripada penyakit berkenaan dan kesemua 20 orang asli yang sembuh ini ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli (Rika) di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.

Bagaimanapun, sebelum ini, kematian yang melibatkan komuniti ini dikenal pasti akibat daripada tanda-tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan. Keadaan ini dipercayai bahawa mangsa menggunakan air tadahan bukit dan sungai yang dipercayai tercemar.

Penularan pneumonia tiada kaitan dengan pencemaran air

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penularan jangkitan radang paru-paru dalam kalangan masyarakat orang Asli suku Batek ini disahkan tiada kaitan dengan isu pencemaran air atau aktiviti pembalakan.

Tambahnya lagi, Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sendiri menjelaskan bahawa isu Orang Asli di perkampungan itu tiada sangkut paut dengan pencemaran air atau perlombongan seperti didakwa sebelum ini.

Oleh itu, ini memberi kelegaan kepada kerajaan negeri kerana sebelum ini macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kerajaan negeri yang dikaitkan dengan isu Orang Asli di Gua Musang.

Pengesahan wabak demam campak dalam komuniti Orang Asli suku Batek

orang asli

Berdasarkan laporan Harian Metro baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang adalah measles atau demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian yang disahkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Menurutnya, faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (mump, measles dan rubela) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Ini kerana pasukan kesihatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini kerap berpindah-randah dan faktor kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

Beliau berkata, jangkitan virus measles mudah merebak yang mana satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain. Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang dijangkiti. Dan, demam campak ini boleh dicegah dengan imunisasi.

Vaksin campak sudah diberikan kepada Orang Asli suku Batek

orang asli

Suntikan vaksin secara menyeluruh akan diberikan kepada penduduk Orang Asli suku Batek bagi mengekang penularan wabak measles atau demam campak yang melanda mereka sejak sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, selain suku kaum terbabit, penduduk sekitar yang berada di kampung berkenaan juga tidak terkecuali daripada diberikan vaksin yang sama.

“Kampung itu bukan hanya didiami orang asli, malah terdapat juga masyarakat tempatan di sekitarnya.

“Jadi, ketika ini pihak jabatan sedang mengumpul data untuk mengenal pasti bilangan mereka yang terdedah dan akan memberikan vaksin kepada mereka secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya dijangka akan mengalami kesukaran dalam melaksanakan tugas tersebut namun usaha pihaknya itu akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam masa sama, program suntikan imunisasi secara berjadual akan diteruskan terutama kepada kanak-kanak. Cuma sebelum ini pihak kami menghadapi kesukaran memandangkan suku kaum itu kerap berpindah-randah,” katanya.

Dr Zaini berkata orang asli tidak boleh dipersalahkan kerana mungkin ketika kita ingin melakukan suntikan imunisasi secara berjadual di kampung itu tapi kebetulan mereka tiada kerana perlu mencari hasil hutan.

Tambahnya, suntikan vaksin bukan satu-satunya cara pencegahan demam campak atau penyakit lain, namun pihaknya perlu melihat dalam aspek lain seperti pemakanan.

 

Wabak campak menular ke Hulu Terengganu dan Jerantut

Berdasarkan laporan terkini daripada Berita Harian, wabak demam campak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dipercayai merebak ke komuniti Orang Asli di Hulu Terengganu, Terengganu dan Jerantut, Pahang.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menerima 20 laporan kes disyaki demam campak di perkampungan Orang Asli di dua negeri itu, iaitu 12 kes di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dan lapan kes di Kampung Ulu Sat, Jerantut.

Daripada jumlah itu, katanya, 11 kes disahkan wabak demam campak, iaitu tujuh kes di Kampung Gerdong, dan empat kes di Kampung Ulu Sat, yang dipercayai berkait dengan kes di Gua Musang.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat sejarah kontak atau pergerakan di antara kes di Hulu Terengganu dengan komuniti Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh.

Tambah beliau, buat masa ini kejadian wabak ini adalah terkawal. Orang ramai diminta tidak khuatir dan KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kejadian ini dari semasa ke semasa.

Setakat ini, seramai 10 Orang Asli di masukkan ke wad di Hospital Hulu Terengganu selepas menunjukkan simptom jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit dan muntah, membabitkan sembilan dari Kuala Koh serta seorang dari Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Sementara itu, ditanya tentang cadangan untuk mengenakan kuarantin di kawasan yang terjejas, Dr Dzulkefly berkata kawasan terbabit telah dikepung untuk mengelak penyakit itu daripada merebak. – HelloDoktor

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button