Sukan

Dari Pingat, Pakaian Atlet Sehinggalah Podium, Semuanya Diperbuat Daripada Bahan Kitar Semula!

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo banyak memiliki keunikan serta kelainan dan baru-baru ini podium sukan tersebut pula dikatakan akan diperbuat daripada sisa plastik buangan.

Menurut penganjur sukan temasya terbesar dunia itu, sisa plastik buangan yang diguna pakai untuk menjadikan podium ini pula didermakan oleh penduduk tempatan atau dikutip dari laut.

Ianya sekaligus menunjukkan tanda sokongan kepada pemuliharaan alam sekitar oleh pihak penganjur dan membantu dalam menyampai mesej tentang pemuliharaan alam sekitar kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Tokyo 2020, Toshiro Muto berkata, pihak penganjur berhajat untuk menjadikan ia satu tema utama pada temasya tersebut tahun depan.

“Dengan menyampaikan mesej itu kepada rakyat Jepun dan penduduk di seluruh dunia, kami berpendapat projek ini memiliki manfaat yang bagus,” katanya kepada pemberita.

Podium itu bakal menjadi yang pertama diperbuat daripada bahan kitar semula dan penganjur berkata, mereka memerlukan 45 tan plastik untuk menghasilkan 100 podium bagi Sukan Olimpik.

Bagi menjayakan projek itu, lebih daripada 2,000 rangkaian pasaraya tempatan akan memberikan kerjasama dengan menyediakan kotak khas bagi membolehkan warga Tokyo menderma bahan buangan plastik yang boleh dikitar semula.

Projek itu juga akan menggunakan bahan buangan plastik yang diperoleh daripada pembersihan laut. Penganjur 2020 begitu berminat untuk menyampaikan mesej mesra alam bersempena temasya tersebut, termasuk menghasilkan pingat daripada bahan buangan produk elektronik yang dikitar semula.

Atlet Jepun yang bertan­ding pada temasya itu juga akan memakai pakaian rasmi yang dihasilkan daripada pakaian kitar semula yang diperoleh dari seluruh negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker