AntarabangsaIsu Semasa

Liga Arab Ikrar Beri Bantuan Kewangan Lumayan Kepada Palestin

Liga Arab pada Ahad sekali lagi berikrar untuk memberi bantuan kewangan bernilai AS$100 juta (RM414.6 juta) setiap bulan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) sehari selepas Amerika Syarikat (AS) mendedahkan perancangan damainya untuk Timur Tengah.

Menteri Kewangan negara-negara Arab dilaporkan telah mengadakan mesyuarat di Cairo bagi memperbaharui janji mereka yang pada asalnya diumumkan pada bulan April, dalam usaha meningkatkan “bajet Pihak Berkuasa Palestin dengan pemberian wang bulanan bernilai AS$100 juta…memandangkan ia sedang menghadapi kekangan kewangan,” menurut satu kenyataan.

Liga Arab juga menegaskan secara tersirat bahawa mereka membantah pelan ekonomi Rumah Putih untuk rantau itu, dengan berkata bahawa “Arab menyokong penuh kebebasan ekonomi, politik, dan kewangan negara Palestin.”

AS dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, perancangan damai Timur Tengahnya yang akan dibentangkan pada minggu ini di Bahrain bertujuan untuk mengumpul dana lebih daripada AS$50 bilion (RM207 bilion) untuk rakyat Palestin dan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh sedekad.

Difahamkan, rancangan yang digelar “Peace to Prosperity” tersebut diketuai oleh Presiden Donald Trump dan anak menantu merangkap penasihatnya, Jared Kushner.

Memetik laporan AFP, Pihak Berkuasa Palestin akan memboikot persidangan di Bahrain yang akan bermula pada Selasa ini, di mana ia mendakwa bahawa Trump yang pro-Israel mahu ‘membeli’ rakyat Palestin dan menghalang Palestin daripada menjadi sebuah negara yang merdeka.

Dalam pada itu, pegawai-pegawai AS telah memberi petanda bahawa bahagian politik yang terkandung di dalam perancangan tersebut tidak akan menyebut tentang penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Bahagian berkenaan dijangka akan diterbitkan pada penghujung bulan November selepas Israel mengadakan pilihan raya dan membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, Liga Arab pada awal tahun ini menegaskan bahawa perancangan AS “tidak akan berjaya dalam mencapai perdamaian komprehensif dan berkekalan di Timur Tengah.”

Sumber: The Sun Daily – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button