AntarabangsaIsu Semasa

Sudah Hampir Dua Tahun Peristiwa Marawi Berakhir, Tetapi…

Selepas lima bulan berada di bawah cengkaman kumpulan militan yang telah bersumpah taat setia dengan pengganas IS, bandar Marawi di Filipina akhirnya berjaya dibebaskan oleh tentera pada bulan Oktober 2017.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembebasan Marawi berikutan kematian dua pemimpin militan, iaitu susulan Isnilon Hapilon dan Omar Maute.

Walaupun sudah hampir dua tahun peristiwa itu berlaku, ramai orang dilihat sudah lupa akan kejadian berdarah itu.

Bukan itu sahaja, malah terdapat ramai penduduk yang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu masih lagi mengharungi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Namun begitu, nasib malang yang menimpa mangsa-mangsa Marawi tidak diabaikan begitu sahaja memandangkan ada pihak bertangunggjawab yang membela mereka, iaitu Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

ICRC secara aktif membantu dan membimbing penduduk Marawi ke arah pemulihan.

Ibu kota wilayah Lanao del Sur di barat pulau Mindanao, Marawi dan sekitarnya kini menyaksikan kemusnahan, huru-hara, dan kekurangan keperluan asas.

Kawasan itu secara rasmi dikenal pasti sebagai ‘Most Affected Area’ (MAA). Menurut ICRC, sebanyak 95%, atau 6,800 bangunan di zon MAA telah musnah sebahagiannya atau sudah menjadi ‘debu’.

Kawasan tersebut juga menjadi medan peperangan terakhir yang menyaksikan pertempuran paling dasyat di antara Angkatan Tentera Filipina (AFP) dan kumpulan militan.

Militan dilaporkan telah memasang banyak alat letupan reka ganti atau Improvised Explosive Devices (IED) di MAA, sementara tentera juga telah melepaskan 500 pound bom di kawasan tersebut ketika melancarkan serangan udara.

Terdapat juga banyak mayat dengan jumlah yang tidak dapat dikenal pasti di kawasan-kawasan yang terjejas.

Justeru, ICRC berusaha bertungkus lumus untuk mengumpul sampel tisu manusia, menjalankan ujian DNA, dan mengumpul senarai individu-individu yang dilaporkan hilang akibat tragedi tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan menjangkakan kerja-kerja untuk pembinaan semula Marawi mungkin tidak akan dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun 2021.

Lebih membimbangkan lagi, pakar berkata bahawa proses pemulihan pembangunan Marawi yang dilewatkan juga berpotensi menyebabkan kemunculan semula militan di kawasan tersebut.

Penangguhan ini juga menyebabkan kira-kira 100,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal terpaksa menetap di kem-kem penempatan semula.

Nasib malang ini juga mencetuskan kemarahan dalam diri mereka sekali gus menyebabkan mereka terdedah untuk terpengaruh dan menjadi ‘alat pengrekrutan’ bagi militan.

“Naratif (untuk menyertai IS) sebelum ini adalah tentang Timur Tengah dan nasib umat Islam di seluruh dunia.

“Sekarang, ia lebih dekat kerana naratifnya adalah Marawi,” kata Mohammad Sharief, pengasas bersama sebuah organisasi bantuan bagi belia-belia Marawi.

Secara simboliknya, Marawi adalah penting kerana ia merupakan kawasan penduduk Islam di selatan Filipina, namun ia terperangkap dalam kitaran kemiskinan tegar yang tiada penghujung dan turut menjadi ‘mangsa’ ekstremisme selama berdekad-dekad.

Dalam konteks ini, penduduk Marawi yang telah kehilangan tempat tinggal dan diselebungi perasaan marah adalah satu risiko yang tidak boleh diabaikan, menurut pakar.

“Kerajaan perlu bimbang dengan ancaman-ancaman IS mempengaruhi belia (tempatan) kerana kemarahan mereka yang berterusan akibat kegagalan (pihak berwajib) untuk memulihkan semula (Marawi) dan kemarahan umum terhadap kemusnahan yang telah berlaku,” kata penganalisis, Sydney Jones.

Proses pemulihan bandar itu berulang kali ditangguhkan. Konsortium yang diketuai oleh China yang pada asalnya berhasrat untuk melaksanakan pelan pemulihan Marawi telah hilang kelayakan akibat isu perundangan dan kewangan.

Usaha melakukan pembersihan serpihan, iaitu langkah pertama sebelum melakukan pembinaan semula juga mengalami masalah berikutan isu perundangan dan kerajaan berharap ia akan dapat diselesaikan pada November ini.

“Ini sekali lagi akan digunakan sebagai contoh diskriminasi yang dilakukan oleh kerajaan terhadap penduduk Muslim dan pengabaian kerajaan dalam tanggungjawab membina semula Marawi,” kata Francisco Lara, seorang penasihat dengan organisasi keamanan, International Alert.

Walaupun Duterte menampilkan dirinya sebagai seorang yang sensitif terhadap golongan minoriti Islam di Filipina, beliau dilihat memberi reaksi yang berbeza tentang Marawi.

Sebelum ini, beliau mendakwa bahawa bandar tersebut adalah lubuk kegiatan haram dadah. Tuduhan itu amat serius, lebih-lebih lagi kerana ia datang daripada seorang pemimpin yang melancarkan kempen perang dadah yang didakwa telah mengorbankan lebih daripada 5,300 suspek.

“Saya tidak rasa saya patut membelanjakan wang untuk pembangunan mereka. Orang di sana mempunyai banyak wang,” katanya merujuk kepada Marawi dalam satu ucapan pada bulan April.

Tetapi, kerajaan pula berkata bahawa sudah ada perkembangan dalam memulihkan bandar yang terjejas oleh serangan udara tentera ketika ia sedang bertempur dengan ekstremis.

“Kita sedang mengikut arahan dan panduan presiden, di mana beliau melihat Marawi akan bangkit semula sebagai bandar yang sejahtera,” ujar Eduardo del Rosario, seorang bekas jeneral yang memantau usaha pembangunan semula Marawi.

Sumber: NST, The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button