Isu SemasaTempatan

Sebelum Letak Jawatan, Dr Mahathir Tekad Selesaikan Satu Isu Kritikal

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertekad untuk terus memberi tumpuan untuk menyelesaikan salah satu isu paling penting sebelum meletak jawatan sebagai pemimpin negara buat kali kedua.

Apabila ditanya apa yang ingin diselesaikan sebelum bersara, ini jawapan beliau:

“Hutang”.

Merujuk kepada hutang negara yang tinggi, beliau berkata bahawa hutang tersebut adalah terlalu besar untuk negara dan ia perlu dikurangkan.

“Tetapi apabila anda membandingkannya dengan KDNK (Keluaran Kasar Dalam Negara)…KDNK meningkat dan peratusan hutang akan berkurangan, itu adalah satu penyelesaian.

“Penyelesaian yang kedua adalah menjual aset,” katanya pada sesi ‘Masa Depan Malaysia dan ASEAN’ yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN di Bangkok, Thailand, pada Jumaat, 21 Jun 2019.

Tambah Dr Mahathir, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah memandang ringan terhadap keadaan kewangan kerajaan dan tidak mendapat maklumat tepat berhubung keadaan kewangan kerajaan terdahulu.

Jelas beliau, apabila PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun lalu, hutang negara didapati berjumlah RM1 trilion.

“Kami berada di luar dan tidak mendapat maklumat tentang apa yang sedang berlaku di dalam (kerajaan), tetapi selepas kami mengambil alih pentadbiran, kami sedar bahawa kerosakan yang telah dilakukan lebih besar,” ujarnya.

Dedah Dr Mahathir, kerajaan mengharungi tempoh yang amat sukar untuk menangani kerosakan yang telah berlaku berkaitan kedudukan kewangan negara serta jentera pentadbiran.

“Tetapi, kami dapat menguruskan hutang itu sehingga ia tidak lagi menjadi penghalang untuk menjalankan pentadbiran dan pembangunan negara,” kata beliau.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan telah mengawal dan mengurangkan jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kepada 75.4% daripada KDNK pada tahun lepas berbanding 79.3% pada 2017 walaupun hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2% daripada KDNK.

Difahamkan, penurunan 3.9 mata peratusan keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan didorong oleh hasil rasionalisasi kos projek mega yang terlalu mahal dan pembayaran Kerjasama Awam-Swasta (PPP).

Dalam pada itu, Dr Mahathir menambah bahawa hampir satu tahun sudah berlalu untuk melaksanakan segala perkara (manifesto) yang telah dijanjikan, tetapi setakat ini, kerajaan menguruskan hutang dengan baik.

Menurutnya, pelaburan yang masuk dan pelaburan langsung asing (FDI) telah meningkat kepada RM29.3 bilion di semua sektor.

“Pelaburan yang akan masuk itu adalah baik,” katanya.

Sumber: The Star – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button