AntarabangsaIsu Semasa

Basikal Terpakai Dari Singapura, Malaysia Bantu Kanak-Kanak Myanmar Ke Sekolah

Kanak-kanak Myanmar pulang dari sekolah dengan basikal yang dikitar semula dari Singapura dan Malaysia yang didermakan untuk memberi mereka akses pendidikan yang lebih baik.

Dalam negara di mana lebih separuh penduduk hidup dalam kemiskinan, seorang murid,  Thae Su Wai tidak lagi perlu berjalan kaki sejauh 10km yang mengambil masa sekitar dua jam untuk ke sekolah.

“Saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk belajar dan bermain dengan kawan-kawan,” katanya, sambil bersemangat menunggang basikal baru di sekolah Kampung Nhaw Kone berhampiran Yangon.

Murid berusia 11 tahun itu merupakan antara 200 pelajar pertama yang menerima basikal dalam kempen “Lesswalk” yang dicetuskan oleh usahawan Mandalay, Mike Than Tun Win.

“Saya melihat pelajar berjalan berjam-jam untuk bersekolah dan saya sangat bersimpati dengan mereka,” kata usahawan berusia 33 tahun itu kepada AFP.

UNICEF menganggarkan 55% kanak-kanak di Myanmar hidup dalam kemiskinan, sementara separuh daripada remaja 17 tahun memasuki alam dewasa dengan pendidikan yang tidak lengkap.

Oleh itu, apabila Than mendengar bahawa syarikat-syarikat basikal awam seperti Ofo, oBike dan Mobike telah menghentikan operasi di Singapura dan Malaysia sekaligus  meninggalkan beribu-ribu basikal terbengkalai, Than mengambil peluang itu.

Pelabur bidang teknologi itu kemudiannya membeli 10,000 basikal awal tahun ini dan menghantar ke Myanmar.

Related image

Than berharap mereka akan membantu menjaga lebih banyak kanak-kanak di sekolah untuk lebih lama, memberi mereka pendidikan supaya mereka dapat “lari dari kemiskinan”.

Setiap operasi hanya menelan perbelanjaan sekitar US$35 (RM145), termasuk penghantaran dan pengedaran. Than membayar separuh daripadanya manakala separuh lagi datang dari penaja.

Yangon adalah pelancaran pertama kempen Lesswalk sebelum Than meneruskan skim itu di Mandalay dan Sagaing akhir bulan ini.

Kanak-kanak berumur 13 hingga 16 tahun yang tinggal lebih dari 2km dari sekolah akan menjadi target utama mereka.

“Kebanyakan ibu bapa di sini miskin,” kata Ni Ni Win, 55, guru besar sekolah Thae Su Wai.

“Ramai kanak-kanak bahkan tidak mempunyai payung. Mereka hanya menggunakan kepingan plastik untuk melindungi diri apabila hujan.”

Than mengatakan ini hanya permulaan, matlamatnya adalah untuk mengekalkan momentum dan menyerahkan sejumlah 100,000 basikal dalam tempoh lima tahun.

“Basikal-basikal ini mungkin tidak bernilai di Singapura, tetapi ia berharga di negara yang lebih miskin,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close