Isu SemasaTempatan

Penculik Di Perairan Sabah Sudah Mengubah ‘Sasaran’?

Penculik yang masih melakukan ‘pemburuan’ di perairan Sabah, khususnya di kawasan pantai timur dilihat tidak lagi menyasarkan mangsa-mangsa yang bernilai tinggi.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Datuk Omar Mammah, ini mungkin disebabkan kehadiran pasukan keselamatan dan kawasan curfew yang semakin meningkat.

“Mereka (penculik) kini menyasarkan nelayan dan pemilik bot kerana matlamat mereka adalah untuk meminta majikan membayar wang tebusan bagi membebaskan pekerjanya.

“Berkenaan dengan insiden terbaru, kita masih belum menerima sebarang panggilan daripada penculik, jadi kami tidak pasti tentang motif mereka walaupun kami mengesyaki bahawa ia adalah untuk tebusan,” katanya.

Pada Selasa baru-baru ini, beberapa anggota bersenjata berkaitan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf dipercayai telah menculik 10 daripada 16 krew dari dua buah bot nelayan di perairan Tabisan di Lahad Datu berhampiran dengan rangkaian kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Mangsa-mangsa berkenaan dilaporkan terdiri daripada golongan Bajau Laut (sea gypsies) yang hanya mempunyai ‘nilai kewangan’ yang banyak dari segi wang tebusan.

“Kita syak ia adalah untuk dapatkan wang tebusan. Tiada panggilan telefon setakat ini (daripada kumpulan penculik), jadi saya tak dapat beri apa-apa perkembangan.

“Kita bagaimanapun sudah ambil keterangan daripada mereka yang terselamat (dalam kejadian penculikan) untuk membantu siasatan,” ujar beliau.

Enam orang nelayan yang tidak diculik telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan menurut Omar, tiada kecederaan dilaporkan.

Kumpulan bersenjata juga dipercayai tidak melepaskan sebarang tembakan ketika kejadian.

Difahamkan juga, insiden kali ini menyaksikan jumlah tebusan kedua paling tinggi dalam tempoh hampir dua dekad sejak penculikan Sipadan membbabitkan 21 rakyat Malaysia dan warga asing pada tahun 2000.

Pada masa yang sama, Omar berkata bahawa ianya sukar untuk mengesahkan sama ada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) telah mengubah sasaran mereka daripada mangsa yang bernilai tinggi kepada nelayan biasa atau tidak.

“Terdapat beberapa kumpulan KFR (buat masa ini) yang aktif menyasarkan nelayan dan pemilik bot,” katanya.

Sumber: The Star, Hmetro

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button