Sukan

Steven Sim Hairan Mengapa KJ & Shahidan Mahu Merebut Jawatan Dalam Persatuan Sukan Kebangsaan

Setelah mantan Menteri Belia & Sukan berhasrat untuk menjadi presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), bekas presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim pula menawarkan diri merebut kerusi nombor dua badan induk sukan itu.

“Saya bertanding kerana hendak menyokong calon presiden yang mampu bawa perubahan. Lebih kurang macam presiden baharulah ya,” katanya dihubungi HarianMetro.

Alasan Mengapa Tidak Mahu Bertanding Jawatan Presiden

Ditanya kenapa tidak bertanding bagi jawatan presiden, beliau menegaskan ia demi perpaduan KOM.

“Salah atau tidak saya bertanding timbalan presiden? Saya boleh nak bertanding jawatan presiden tapi saya tidak mahu ‘goncangkan bot’, biar berjalan dengan elok.

“Mungkin sebagai timbalan, saya boleh membantu mereka. Sekurang-kurang ada orang politik dalam kesatuan. Tidaklah nampak macam bertelagah dengan pihak berkuasa, itu tidak bagus,” katanya.

 

Bagus Ahli Politik Dalam Kesatuan Sukan

Menurut Shahidan beliau berpendapat bagus jika ada ahli politik berada dalam jawatankuasa eksekutif sesebuah kesatuan sukan.

“Dalam sukan jika ada orang politik yang minat sukan, cantik!. Contohnya seperti Datuk Norza (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) sebagai Presiden dalam Majlis Olimpik Malaysia. Saya nak bertanding atas dasar mereka (ahli kesatuan) kata ada keperluaan. Jika tiada keperluan saya tidak akan bertanding.

“Setakat ini saya baru berjumpa dua tiga orang bertanya pandangan mereka, kalau diminta teruskan (bertanding) saya akan teruskan. Sekurang-kurangnya tiga undi dari Perlis bagi presiden baharu ini,” katanya.

 

Nekad Berdepan Sesiapa Saja

Mengulas kenyataan pencabarnya, Mumtaz yang nekad berdepan sesiapa saja dalam pemilihan itu, Shahidan juga senada.

“Saya tidak mahu cerita siapa saya, kalau nak lawan, kita lawanlah. Apa saya kisah? Antara benda yang saya cukup sakit hati, apabila orang bercakap berbelit-belit dalam persatuan. Depan cakap lain, di belakang cakap lain.

“Sebab itu, biarlah saya balik ke kesatuan ini, tapi di peringkat negeri saya masih presiden Persatuan Olahraga Perlis,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya calon yang ingin bertanding jawatan dalam KOM perlu mempunyai jawatan di peringkat negeri kerana penting untuk beri sumbangan kepada sukan tempatan.

 

Steven Sim Hairan & Kurang Bersetuju

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong melahirkan rasa hairan dengan hasrat dua ahli politik pembangkang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahidan Kassim untuk kembali merebut jawatan kanan persatuan sukan kebangsaan.

Beliau juga kurang bersetuju dengan tindakan mereka menyertai pemilihan pucuk pimpinan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hujung bulan ini, walaupun tidak menghalang mana-mana rak­yat Malaysia berbuat demikian.

 

“Ukur Baju Di Badan Sendiri” – Steven Sim

“Saya tidak faham mengapa ahli politik seperti mereka suka sangat bertanding dalam persatuan sukan kebangsaan, tetapi ukurlah baju di badan sendiri. Walaupun tidak menggalakkan atau bersetuju, kami tidak halang keinginan sesiapa menyertainya.

“Tanyalah diri dahulu sama ada bebanan tugas itu selain sebagai Ahli Parlimen, boleh ditanggung dan dijalankan dengan baik,” katanya selepas majlis pelancaran Tenis Remaja Asia NAAM Bawah 14 Tahun di sini, hari ini.

Sepatutnya, bekas Menteri Belia dan Sukan dan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia itu memberikan keutamaan kepada menimba pengalaman terlebih dulu sebagai pembangkang dalam Dewan Rakyat kerana inilah kali pertama mereka menggalasnya, tegas Steven kepada UtusanMalaysia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker