Isu SemasaTempatan

Keselamatan ‘Rider’ Perkhidmatan Penghantaran Makanan Perlu Diutamakan

Perkhidmatan penghantaran makanan atas talian seperti GrabFood, FoodPanda, Delivereat, dan sebagainya sudah menjadi trend yang amat popular pada zaman ini.

Pelanggan boleh memesan makanan dari rumah dengan mudah menggunakan aplikasi perkhidmatan tersebut di telefon pintar mereka tanpa perlu bersusah payah untuk pergi ke tempat makan/restoran yang diingini.

Selain daripada memanfaatkan pelanggan, ia juga mendatangkan situasi menang-menang atau ‘win-win’ kepada pihak restoran dan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan itu.

Restoran dapat meningkatkan jualan sementara syarikat penghantaran pula akan memperoleh peratusan daripada hasil jualan.

Permintaan bagi perkhidmatan ini yang semakin meningkat juga membawa kepada peningkatan jumlah penghantar makanan atau ‘rider’ di jalan raya.

Rider-rider ini melaksanakan tugas mereka dengan penuh komited untuk memastikan makanan sampai ke pintu rumah pelanggan mengikut masa yang ditetapkan.

Mereka akan melakukan penghantaran dalam apa jua situasi sekali pun termasuk ketika cuaca hujan lebat atau panas terik.

Penghantar makanan juga akan memperoleh komisyen berdasarkan berapa banyak penghantaran yang dapat dilakukan dalam masa sehari. Semakin banyak penghantaran, semakin tinggi komisyen yang diterima.

Walau bagaimanapun, risiko yang dihadapi ketika bertugas amat membimbangkan. Tambahan pula, terdapat segelintir rider yang menunggang motosikal mereka dengan laju dan berbahaya, sehinggakan ada juga yang sanggup memotong lampu merah.

Dalam bidang ini juga, aplikasi GPS seperti Waze dan Google Maps amat penting bagi penghantar makanan untuk menuju ke lokasi pelanggan.

Tetapi, ia sangat berbahaya sekiranya rider menggunakan satu tangan untuk memegang telefon bimbit sementara hanya sebelah tangan digunakan untuk menunggang/mengawal motosikal mereka.

Dalam situasi ini, amat digalakkan bagi mereka untuk menggunakan pemegang telefon yang dipasang pada motosikal agar dapat mengawal motosikal sepenuhnya menggunakan kedua-dua tangan.

Bercakap tentang kes kematian membabitkan rider penghantaran makanan, Editor Eksekutif The Star, Brian Martin di dalam artikelnya bertajuk “Reckless riders endangers motorists” berkata bahawa seorang rakannya yang merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah rangkaian restoran mendedahkan kira-kira 12 hingga 15 penghantar makanannya maut setiap tahun.

Ini merupakan statistik yang amat mengejutkan sekali gus menunjukkan betapa tingginya bahaya yang dihadapi oleh rider-rider ketika bertugas.

Oleh itu, CEO tersebut mengarahkan pengurus penghantarannya untuk tidak menghantar keluar rider ketika hujan lebat memandangkan risikonya adalah dua kali ganda lebih banyak.

Ini tidak termasuk lagi risiko yang ada sekiranya rider membawa motosikal mereka secara tidak berhemah. Melanggar lampu merah, menggunakan telefon ketika menunggang, dan sebagainya.

Ini bukan sahaja mendatangkan risiko terhadap rider, malah ia juga membahayakan nyawa dan keselamatan pemandu/penunggang lain di jalan raya.

Jadi, bagaimana untuk menangani masalah ini? Salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh penyedia perkhidmatan penghantaran makanan adalah kakitangan mereka mematuhi peraturan jalan raya.

Selain itu, adalah lebih baik jika rider-rider tersebut diberi gaji pokok bulanan yang selesa dan tidak hanya terlalu bergantung kepada komisyen berdasarkan jumlah penghantaran yang dilakukan untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Sistem komisyen juga mungkin boleh diubah kepada pemberian komisyen berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh oleh syarikat.

Yang paling utama sekali, keselamatan di jalan raya tidak boleh dikompromi. Tidak kira apa pun keadaan, keselamatan rider perlu menjadi keutamaan.

Sumber rujukan: The Star – “Reckless riders endangers motorists”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button