AntarabangsaIsu Semasa

Turki Dedah Replika Model Jet Pejuang Generasi Kelimanya, TF-X

Turki pada Selasa, 18 Jun 2019 telah mendedahkan replika model baru jet pejuang generasi kelimanya, TF-X di Pertunjukan Udara Paris, yang merupakan acara industri aeroangkasa terbesar di dunia.

Pesawat tempur itu dibangunkan oleh syarikat pembuat pesawat tempatan, Turkish Aerospace Industries (TAI) dan menurut Pengurus Besar TAI, Temel Kotil, ini merupakan kali pertama TF-X dipamerkan.

“Ia akan menjadi pesawat tempur yang paling hebat di Eropah”, kata Kotil.

Tambah beliau, TF-X juga mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan jet pejuang halimunan Amerika Syarikat (AS) F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin, terutamanya di bahagian ekornya.

Pembinaan TF-X bertujuan untuk menggantikan pesawat tempur F-16 yang kini sedang berada dalam inventori Tentera Udara Turki.

Jelas Kotil, penerbangan sulung TF-X dijadual untuk dilaksanakan pada tahun 2025 nanti.

“TF-X adalah jet pejuang generasi kelima. Kini, pesawat tempur generasi kelima yang beroperasi termasuk F-22 dan F-35 dalam inventori Tentera Udara Amerika Syarikat, sementara Rusia dan China sedang menguji prototaip pesawat mereka.

“Selepas TF-X dibangunkan, kita (Turki) akan menjadi negara keempat di dunia untuk memiliki jenis pesawat seperti ini. Sementara itu, Jepun, Korea Selatan, Iran dan India juga sedang mengusahakan projek yang serupa. Jadi akan ada persaingan di antara negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ketegangan di antara Turki dan AS semakin meningkat berikutan tindakan Ankara yang membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia.

Washington pula membantah secara keras pembelian senjata itu, di mana mereka mendakwa bahawa sekiranya sistem seperti ini diintegrasikan ke dalam tentera Turki, yang merupakan kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), ia akan membolehkan Rusia mengumpul maklumat perisikan penting tentang keupayaan F-35.

Oleh yang demikian, AS mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap Turki termasuk mengenakan sekatan ekonomi, membuang Turki daripada program F-35, dan membatalkan penghantaran 100 buah F-35 kepada Turki.

Sumber: Hurriyet Daily News, Aerotime

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker