Isu SemasaTempatan

Rakyat Malaysia Perlu Bersedia Mengharungi Tempoh Sukar

Rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menempuhi tempoh sukar yang akan datang memandangkan ekonomi sedang berdepan masalah sebenar di tengah-tengah situasi luaran yang semakin bertambah buruk setiap hari.

Amaran tersebut dinyatakan oleh ahli ekonomi terkemuka negara, Dr Jomo Kwame Sundaram yang juga merupakan penasihat kanan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Menurut Dr Jomo, kebanyakan masalah ini adalah di luar kawalan kerajaan Malaysia dan rakyat perlu bersiap sedia untuk mengharungi tempoh sukar.

“Perang ekonomi bukan sahaja tentang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan kita tidak boleh lari kerana ia juga adalah ekonomi kita.

“Kita juga akan terperangkap dalam situasi ini memandangkan China ialah rakan kongsi dagang besar kita, dan terdapat banyak pelaburan Malaysia bersama China, kerana kita terikat dengan usaha sama seperti dalam Proton dan Geely,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, adalah amat penting bagi semua pihak untuk mengenal pasti masalah tersebut dan menanganinya secara bersama sebagai sebuah negara.

Dalam usaha melakukannya, Dr Jomo mengingatkan rakyat untuk mengenepikan perbezaan politik masing-masing dan bersatu-padu dalam keadaan ini.

Beliau turut menyatakan bahawa negara harus mula memikirkan tentang pelaburan domestik sebagai penyelamat ekonomi berbanding hanya memberi fokus terhadap pelaburan asing.

Kelembapan ekonomi sudah pun berlaku, di mana ia menjejaskan harga komoditi Malaysia dan situasi ini dilihat tidak akan pulih dengan serta merta.

“Kita bukan negara pengeluar minyak dengan kos rendah seperti Arab Saudi, malah Arab Saudi juga sedang menyemak semula dasar-dasar mereka berikutan keadaan ekonomi semasa,” ujarnya.

Apabila ditanya sama ada ekonomi Malaysia memerlukan rangsangan baru atau tidak, Dr Jomo berkata bahawa negara telah merangsang ekonomi sejak 20 tahun lepas ketika Krisis Kewangan Asia dengan melakukan banyak pinjaman.

Tambah beliau, penambah baikan yang perlu dilakukan oleh negara adalah dari segi akauntabiliti dan ketelusan.

Bercakap tentang agenda pembaharuan negara, Dr Jomo menjelaskan bahawa usaha pembaharuan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan senarai harapan pula amat panjang.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap masalah-masalah yang kritikal berbanding perkara lain seperti yang digesa oleh Bank Dunia untuk Malaysia lakukan.

Menurut Dr Jomo, menangani isu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan hutang negara menjadi perkara yang perlu diselesaikan buat masa ini.

“Saya tidak boleh kata apa yang kerajaan sedang buat sekarang adalah mengagumkan kerana masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Tetapi, apa yang mereka cuba realisasikan juga membabitkan kepentingan yang kuat, selain wujud pihak yang akan menentang pembaharuan, jadi, ia bukan mudah,”

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button