Isu SemasaTempatan

Empat Dalang Tragedi MH17 Didedahkan, Bakal Didakwa

Laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) mendedahkan empat suspek dikenal pasti sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun 2014.

Ia dilaporkan dalam satu sidang media di Belanda, hari ini.

Memetik laporan The Star, pasukan penyiasat JIT berkata tiga daripada suspek adalah warga Rusia, manakala seorang warga Ukraine.

“Semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People’s Republic ketika kejadian.

“Igor Girkin digelar ‘Menteri Pertahanan’ untuk wilayah Donetsk,” katanya.

JIT menambah, tiga daripada suspek aktif dalam gerakan bersenjata.

“Pendakwa raya akan dakwa empat suspek yang menjadi perancang utama dalam kejadian di Mahkamah Jenayah Belanda,” katanya.

JIT berkata, notis waran tangkap sudah dikeluarkan bagi keempat-empat suspek berkenaan.

JIT dianggotai oleh penyiasat Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine mendapati MH17 ditembak jatuh oleh misil Russia.

Pesawat Malaysian Airlines itu meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine yang dikuasai pemisah pro-Russia pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh. Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal dalam satu kenyataan kepada agensi berita Interfax-Ukraine berkata, empat individu yang dinamakan sebagai suspek adalah termasuk seorang pegawai kanan tentera Russia.

Beliau menambah, pemindahan senjata seperti sistem peluru berpandu anti pesawat BUK adalah mustahil tanpa kebenaran pemerintah tentera tertinggi Russia dan ia turut membabitkan individu, selain suspek yang didakwa.

Sementara itu, menurut anggota keluarga mangsa kesemua suspek yang didakwa atas tuduhan membunuh akan dibicarakan seawal tahun depan.

“Kes mahkamah ke atas empat suspek itu akan bermula pada 9 Mac 2020 yang didakwa membunuh semua penumpang pesawat berkenaan,” kata Silene Fredriksz, ibu kepada anak lelaki dan menantunya yang terbunuh dalam nahas terbabit.

Fredriksz memberitahu wartawan selepas anggota keluarga diberi taklimat berkenaan dakwaan itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button