AntarabangsaIsu Semasa

Syria Tidak Mahu Berperang Dengan Turki

“Syria tidak mahu dilihat seperti mahu berperang dengan Turki”.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Menteri Luar Syria, Walid Al-Moualem pada Selasa selepas Turki berkata bahawa salah satu pusat pemantauannya di wilayah Idlib diserang dari sebuah kawasan yang dikawal oleh tentera Syria.

Pusat pemantauan itu berada di dalam zon de’eskalasi atau ‘zon selamat’ yang diwujudkan menerusi perjanjian di antara Rusia yang menyokong Presiden Syria, Bashar Al-Assad dalam perang saudara, bersama Turki yang menyokong kumpulan pemberontak.

Dalam erti kata lain, ini juga merupakan zon gencatan senjata yang diwujudkan untuk menghentikan pertempuran sengit di antara tentera kerajaan Syria dan pemberontak di bahagian barat dan selatan negara itu.

Tetapi perjanjian itu dilihat telah gagal sejak beberapa bulan kebelakangan, di mana ratusan ribu orang awam terpaksa melarikan diri.

Idlib pula merupakan kubu terakhir bagi kumpulan pemberontak anti-kerajaan selepas 8 tahun perang saudara ini berlangsung.

“Saya berharap tentera kami (Syria) dan tentera Turki tidak bertempur. Ini merupakan pendirian berprinsip kami.

“Apa yang kita sedang lawan adalah pengganas, terutamanya di Idlib, yang merupakan wilayah Syria, sebahagian daripada negara kami,” kata Al-Moualem dalam satu sidang media di Beijing.

Memetik laporan Arab News, pasukan yang paling dominan di wilayah Idlib ialah Tharir Al-Sham, iaitu penjelmaan semula Nusra Front yang merupakan sebahagian daripada Al-Qaeda sehingga tahun 2016.

Pasukan-pasukan pemberontak lain yang disokong Turki juga dilaporkan bertapak di wilayah tersebut.

“Persoalannya sekarang, apa yang Turki mahu lakukan di Syria? Turki mengawal sebahagian daripada tanah Syria, dan mempunyai kehadiran tentera di beberapa bahagian di Syria.

“Adakah mereka melindungi Nusra Front? Adakah mereka melindungi kumpulan pengganas tertentu termasuk East Turkestan Islamic Movement?

“Persoalan ini perlu ditanya kepada Turki, apakah tuntutan sebenar mereka? Kita menentang kumpulan dan organisasi pengganas tersebut,” ujar Al-Moualem.

Difahamkan, East Turkestan Islamic Movement merujuk kepada kumpulan ekstremis yang didakwa melancarkan serangan di barat Xinjiang, China.

Sejak bulan April, tentera kerajaan Syria telah meningkatkan operasi pengeboman di kawasan tersebut, sekali gus mengorbankan ramai orang.

Menurut pemberontak, tindakan kerajaan itu merupakan sebahagian daripada kempen serangan yang akan melanggar perjanjian de-eskalasi.

Kerajaan Syria dan sekutunya Rusia pula menyifatkan tindakan tersebut sebagai “tindak balas” terhadap pelanggaran yang dilakukan oleh pemberontak, termasuk kehadiran pejuang di zon berkenaan.

Sumber: Arab News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button