Sukan

Adakah KJ Dibenarkan Bertanding Untuk Jawatan Presiden MPM Atau Tidak?

Baru semalam bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disahkan bertanding bagi merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 29 Jun ini.

Tetapi status permohonannya tersebut menjadi persoalan apabila beliau dikatakan berdepan halangan besar apabila MPM masih mempertimbangkan surat pencalonannya lewat dihantar.

 

Borang Seharusnya Dihantar Selewat-lewatnya Sebelum 15 Jun 2019

“Dalam borang jelas me­nunjukkan borang pencalonan perlu diserah ke pejabat MPM sebelum 15 Jun iaitu selewat-lewatnya pada pukul 11.59 malam pada 14 Jun.

“Selepas disemak, Khairy dan John Ng (Timbalan Presiden MPM) menghantar borang mereka pada pukul 11.30 malam 15 Jun iaitu sudah beberapa jam terlepas daripada tarikh akhir,” kata sumber MPM.

 

Status KJ Masih Menjadi Tanda Tanya

Menurut UtusanOnline, status Khairy Jamaluddin sama ada dibenarkan bertanding atau tidak sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) minggu depan masih menimbulkan tanda tanya selepas tiada sebarang keputusan dicapai badan itu hari ini.

Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid mengesahkan Khairy akan mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang bakal diadakan pada 29 Jun ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya apakah pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu diterima selepas beliau gagal menghantar borang mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.

Jawatan Presiden MPM sebelum ini disandang oleh SM Nasarudin SM Nasimuddin sejak tahun 2015.

 

Belum Boleh Mengumumkan Calon Yang Rasmi Bertanding

Menurut Zaharah lagi beliau belum dapat melakukan pengumuman rasmi calon bertanding bagi semua jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden pada Mesyuarat Agung MPM ke-22 kerana borang pencalonan yang diterima sedang diteliti.

“Maaf sebab kami baru menerima (borang pencalonan) sampai jam 11 malam semalam. Jadi memerlukan masa untuk memproses borang yang masuk pada Ahad sebelum dapat betul-betul senarai yang rasmi selepas disaring oleh pengerusi jawatankuasa etika dan undang-undang MPM,” katanya pada sidang media di kompleks sukan itu, semalam.

Katanya, setakat jam 11 malam kelmarin, dua pencalonan diterima bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung, lapan naib presiden dan satu bendahari.

 

Setiausaha Agung Tidak Mahu Mengulas Lanjut

“Mesyuarat Agung MPM akan diadakan pada 29 Jun ini. Jawatan yang akan dipertandingkan masing-masing, satu bagi presiden dan timbalan, lima naib presiden dan satu setiausaha agung dan bendahari,” katanya yang enggan mengulas sama ada Khairy Jamaluddin salah seorang calon bagi jawatan presiden.

Diminta mengulas isu tarikh tutup penghantaran borang itu, Siti Zaharah berkata, pihaknya perlu memberi masa untuk menyaring borang itu.

“Ini borang yang kami terima dan belum disaring. Mungkin (dibatalkan) masa saringan, kami tidak pasti dan serah kepada jawatankuasa untuk bentang pada EXCO,” katanya. Beliau turut menyatakan tidak boleh menjawab isu kelewatan penghantaran borang,sehingga saringan rasmi dibuat lapor HarianMetro.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker