Isu SemasaTempatan

Selain Daripada Politik, Banyak Lagi Isu Kritikal Lain Yang Perlu Diberi Perhatian

Rata-rata rakyat Malaysia pada masa kini dilihat terlalu fokus terhadap isu membabitkan politik, agama, dan bangsa sehinggakan terlepas pandang perkara-perkara kritikal yang berlaku di dalam komuniniti.

Perdebatan awam dan argumen tentang politik memainkan peranan penting dalam setiap aspek kehidupan kita, di mana masa depan generasi akan datang juga ditentukan oleh ahli-ahli politik yang merangka dasar.

Perbincangan dan perdebatan juga penting untuk menjadi demokrasi yang progresif dan bertenaga, tetapi ia adalah satu perkara yang tidak baik dan kotor sekiranya sesi pertukaran pendapat itu berubah menjadi persengketaan yang menggunakan isu bangsa, agama, dan asal usul seseorang individu sebagai modal.

Menurut wartawan dan penyelidik, K. Parkaran menerusi artikelnya di The Star bertajuk “Time for Malaysians to fight the real battle”, apabila isu bangsa dan agama diselitkan dalam setiap perbincangan politik dan keputusan kerajaan, maka ia tidak akan berkesudahan.

Tetapi malangnya, inilah senario yang sedang berlaku di Malaysia pada hari ini. Sebagai contoh, pelantikan Latheefah Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyaksikan terdapat sesetengah pihak mendakwa bahawa orang Melayu telah kehilangan kuasa di dalam negara.

Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa beliau ialah seorang rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan beragama Islam, selain daripada mempunyai kelayakan yang sewajarnya untuk memegang jawatan berkenaan.

Tidak dinafikan bahawa pelantikan beliau itu turut menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya sebab Perdana Menteri Tun Dr Mahatir Mohamad mengambil keputusan itu.

Pada masa yang sama juga, terdapat ramai ahli politik daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) serta badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perdebatan secara bijak dan tidak berlandaskan emosi tentang sama ada Latheefah adalah calon yang tepat atau sebaliknya, tanpa menyentuh isu bangsa atau agama.

Daripada hanya terlalu memberi tumpuan terhadap isu-isu politik semata-mata, terdapat pelbagai perkara kritikal lain yang perlu diberi perhatian dan ditangani.

Menteri Undang-Undang, Liew Viu Keong amat membuat pendedahan yang amat membimbangkan berkaitan isu dadah.

Menurut beliau, terdapat 66,000 banduan di dalam penjara di Malaysia, dan 56% atau 36,960 daripada jumlah itu dipenjarakan atas kesalahan berkaitan dadah yang tidak membabitkan hukuman mati.

Kerajaan membelanjakan RM40 setiap hari untuk menanggung setiap banduan yang hidup di dalam penjara.

Ini bermakna, wang yang dibelanjakan adalah RM1.4 juta sehari, RM44 juta setiap bulan dan RM520 juta setiap tahun secara keseluruhan bagi banduan-banduan dalam kategori itu yang tidak menyumbang sebarang produktiviti terhadap pertumbuhan negara.

Lebih membimbangkan lagi, kerajaan menyatakan bahawa 99% pesalah dadah yang dibebaskan selepas menjalani hukuman kembali semula kepada tabiat asal mereka.

Dari segi sosial pula, mereka mendatangkan mudarat terhadap keluarga dan masyarakat. Di dalam pusat pemulihan di seluruh negara pula, terdapat 130,000 penagih dadah yang ditempatkan di sana.

Realitinya, individu-individu tersebut memerlukan bantuan, tidak kira apa bangsa atau agama mereka. Adalah lebih bermakna jika wang dan tenaga yang digunakan untuk mencetuskan kebencian bangsa dan keagamaan digunakan bagi membantu golongan ini.

Satu lagi isu penting adalah dakwaan berlakunya rasuah dalam agensi-agensi penguatkuasa yang menjadikan ia mudah untuk mendapat akses terhadap dadah-dadah berbahaya.

Satu kajian baru mendapati bahawa kecenderungan untuk menggunakan dadah sebagai kaedah untuk menghilangkan stres menjadi semakin meningkat.

Bukan itu sahaja, malah penggunaan dadah dalam kalangan golongan profesional di Malaysia juga menyaksikan peningkatan.

Masalah berkaitan pendidikan juga menjadi satu isu yang perlu diberi perhatian serius. Masalah pelajar tercicir (berhenti belajar), gangsterisme dan pergaduhan di antara kaum, terutamanya di sekolah-sekolah separa bandar merupakan salah satu perkara yang perlu ditangani dengan segera.

Lagi satu masalah besar adalah berkaitan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Adalah lebih baik untuk menyuruh peminjam membayar semula pinjaman mereka daripada menggalakkan mereka menyertai demonstrasi jalanan untuk mendesak agar kutipan pembayaran pinjaman dibatalkan.

Jadi, segala isu ini harus diberi perhatian serius dan ditangani dengan segera menerusi kerjasama semua pihak, termasuk rakyat, untuk membawa negara bergerak ke hadapan.

Berbeza agama dan bangsa tidak sepatutnya menjadikan kita bermusuh di antara satu sama lain. Tetapi, ramai orang dilihat lebih gemar bertengkar berbanding cuba membantu mereka yang memerlukan.

Jadi, adalah lebih baik untuk kita tidak menjadi terlalu taksub dengan politik sehingga ia memecahbelahkan kita.

Sumber Rujukan: The Star – Time for Malaysians to fight the real battles

Show More

Related Articles

Back to top button