MalaysiaPolitik

PRU-15 Akan Berlangsung Pada Akhir Tahun 2020?

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diramal akan berlangsung pada akhir 2020 iaitu lebih awal daripada penggal kerajaan PH tamat, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau juga menjangkakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya memulangkan mandat kepada rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin menerusi PRU.

“Tuan- tuan dan puan-puan jadi janganlah ingat pilihan raya lama lagi, jangan ingat pilihan raya lagi empat tahun.

“Saya jangkakan PRU15 tak lama lagi, tapi bukanlah tahun ini, habis lama pun penghujung tahun depan (2020), sudah bersediakah kita? Kita mesti siap sedia, fikir, runding elok-elok dan semestiya kita akan rombak semula untuk pembahagian kerusi antara BN, Pas dan parti-parti lain yang bersama kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang,

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memberitahu, pada kempen di PRK Sandakan bulan lalu, beliau pernah menyebut ramalan Dr Mahathir tidak akan menyerahkan tampuk kuasa kepada Anwar dan andaiannya itu dibidas oleh Veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Saya saja buat umpan, sebab saya tahu Dr Mahathir sebagai seorang doktor, beliau akan potong tangan atau kaki yang ada kanser. Lepas itu terpulanglah kepada tuan punya badan untuk menguruskan kesihatan.

“Begitu juga dengan kerajaan, beliau (Dr Mahathir) akan pulangkan semula kepada rakyat Malaysia untuk pilih pemimpin. Peliknya kenapa Kit Siang melenting sehingga ajak saya bertaruh? Tapi, saya yakin Dr Mahathir dah baca ‘mesej’ saya, iaitu DAP terang-terangan berada di belakang Anwar,” ujar Mohamad.

Mengulas lanjut tentang PRU15, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu juga meramalkan hasil jalinan kerjasama dengan Pas, gabungan itu mampu merampas empat negeri yang dikuasai kerajaan PH di samping mengekalkan kemenangan di negeri Perlis, Pahang dan Kelantan.

“Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak saya yakin kita akan menang semula. Tapi Selangor saya tak dapat nak baca lagi. Hasil kerjasama dengan Pas dan beberapa parti lain, kita perlu susun strategi supaya kuat semula.

“Bagaimanapun, saya nak ingatkan rakan-rakan bukan Islam jangan bimbang, kerjasama dengan Pas ini bukan bertujuan nak perangi sesiapa. Kita nak bersatu, nak amankan Malaysia bukannya nak jadikan negara Taliban seperti didakwa sebab agenda kita nak menang,” kata beliau.

Sementara itu, beliau juga menjelaskan khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini yang mendakwa dirinya sebagai dalang yang berusaha menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Mohamad, rancangan beliau untuk mengadakan ‘retreat’ dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hanyalah bertujuan meminda Perlembagaan parti untuk memudahkan pendaftaran orang ramai menjadi ahli UMNO.

“Saya cadang buat retreat sehari untuk MT UMNO bahas dan bincang isu Perlembagaan parti, itu sahaja. Tak timbul soal saya mendalangi untuk menyingkirkan sesiapa. Saya kalau boleh saya nak cuti.

“Tak timbul soal nak jawatan-jawatan ini. Jadi jangan nak menuduh yang bukan-bukan yang boleh sebabkan parti jadi kucar kacir semula. UMNO dah elok, orang belum suka lagi tapi orang dah benci dengan PH,” katanya.

Mohamad menambah, beliau dipilih untuk mengemudi UMNO dan BN ibarat seperti menjadi pemandu bas yang kurang surat saman.

“Saya dipilih sebagai pemandu bas, pandu bas UMNO sebab saya tak banyak saman. Polis tak tahan saya. Kalau pemandu lain mungkin susah, asyik ditahan polis.

“Kita semua nak sampai ke destinasi yang sama iaitu menjadi kerajaan semula. Saya pandu anda semua. Sebab kita semua tahu kerajaan PH tak lama, satu penggal saja,” ujarnya berseloroh.

Mengulas perkembangan semasa politik tanah air, Mohamad sekali lagi mengingatkan pimpinan dan juga ahli UMNO agar tidak terpesona dan terpesong dalam permainan politik.

“Dia yang makan buah macang muda, apa pasal kita (UMNO) nak kena getah? Terserah kepada mereka untuk selesaikannya.

“Jangan kita terpesona dan terpesong, ini pendirian kita, tidak campur tangan masalah mereka (PH). Biar reput, jatuh sendiri, jangan dijolok,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker