AntarabangsaIsu Semasa

China Dan Pakistan Semakin Rapat

Presiden China, Xi Jinping yang bertemu dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di Kyrgyzstan pada ketika sidang kemuncak Shanghai Cooperation Organisation ke-19 pada Jumaat lalu, menggesa kedua-dua negara untuk memupuk komuniti yang lebih rapat di antara satu sama lain dengan matlamat untuk menangani situasi serantau dan antarabangsa yang rumit.

Xi turut berkata, pertemuan kali ketiga di antara beliau dan Khan dalam tempoh 8 bulan itu melambangkan perkongsian strategik China-Pakistan pada tahap yang tinggi.

Beliau juga menggesa kedua-dua negara untuk mengadakan penyelarasan dan kerjasama yang lebih rapat.

Xi menekankan kepentingan China dan Pakistan untuk sama-sama mengadakan perbincangan mendalam tentang isu-isu yang menjadi kepentingan bersama, serta berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau serta antarabangsa.

Tambah beliau, Beijing dan Islamabad juga harus mengembangkan dan memperkayakan lagi pembinaan Koridor Ekonomi China-Pakistan dengan fokus baru terhadap bidang-bidang termasuk taman perindustrian, pertanian, dan kebajikan sosial.

Dalam pada itu, Xi menyeru kedua-dua negara untuk menambah baik Perjanjian Perdagangan Bebas China-Pakistan sebagai peluang untuk meluaskan lagi perdagangan dua hala.

Tegas beliau, China sanggup membantu Pakistan mengikut kemampuannya dan juga bersedia menghulurkan bantuan untuk mengukuhkan keupayaan anti-keganasan Pakistan.

Bukan itu sahaja, malah China turut menyokong langkah Pakistan dan India dalam memperbaiki hubungan mereka.

Sementara itu, Khan berkata bahawa negaranya amat menghargai sokongan dan bantuan yang diberikan oleh China sambil memuji usaha gergasi Asia itu dalam mempromosikan keselamatan dan keamanan serantau dan antarabangsa.

Ujar Khan, Pakistan komited untuk meningkatkan lagi hubungan strategik bersama China dan akan berusaha memajukan pembinaan Koridor Ekonomi China-Pakistan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Pakistan akan mengambil langkah-langkah berkesan untuk memastikan keselamatan projek berkenaan.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button